Kerajaan Negeri melalui MBI menghulur bantuan makanan kepada semua petugas penting, termasuk anggota polis.
PILIHAN MINGGUANRENCANA

Taska, bantuan makanan, ringan beban petugas hadapan

SHAH ALAM, 19 FEB: Menyokong usaha membendung wabak, Kerajaan Negeri menolong mengurangkan beban petugas barisan hadapan, termasuk menyediakan kemudahan pusat jagaan anak-anak mereka.

Program selama dua bulan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan semula awal Januari, diumumkan dalam Pakej Kita Selangor dengan sasaran 500 penerima manfaat.

Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan dengan kos RM700,000 menyediakan kemudahan ini di 12 lokasi termasuk sembilan hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Serdang.

Dalam laporan kemajuan 20 inisiatif pakej tersebut, Unit Perancangan Ekonomi Negeri memaklumkan inisiatif di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu dimulakan pada 25 Januari.

Dijayakan dengan kerjasama Persatuan Cakna Anak Malaysia, inisiatif ini bertujuan memastikan asuhan anak petugas hadapan tidak terabai ketika mereka bekerja keras membendung wabak.

Selain pusat jagaan, Kerajaan Negeri melalui MBI menyediakan RM3 juta lagi bawah Pakej Kita Selangor untuk menghulur bantuan makanan kepada semua petugas penting, termasuk anggota polis.

Seramai 9,822 kakitangan kesihatan di 12 hospital, 10 pusat kesihatan daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menerima bantuan makan tengah hari dan malam dalam tempoh 14 hari bermula 20 Januari.

Dalam tempoh dua minggu, 4,340 anggota polis disediakan kemudahan tersebut di 81 lokasi sekatan jalan raya bermula 27 Januari. Bantuan ini berjaya dilaksanakan sepenuhnya.

 


Pengarang :