Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan kad imunisasi vaksin kepada media selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 yang pertama di Selangor di Hospital Shah Alam pada 25 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Tiada alahan, MB seru orang ramai ambil vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 25 FEB: Dato’ Menteri Besar tidak mengalami sebarang kesan sampingan atau alahan selepas mendapat suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses suntikan dos pertama berjalan lancar selain menyifatkan ia pengalaman baharu dan penting bagi melindungi diri daripada jangkitan Covid-19.

“Alhamdulillah, setakat ini tidak rasa apa-apa. Seramai 42 orang menerima suntikan kelompok pertama hari ini dan kami sudah melepasi tempoh pemantauan.

“Mengikut jadual, kami akan terima suntikan kedua pada 18 Mac,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Imunisasi Vaksin Covid-19 peringkat Selangor di Hospital Shah Alam hari ini.

Amirudin turut menasihati orang ramai supaya tidak ragu-ragu dan takut untuk menerima suntikan vaksin memandangkan ia selamat digunakan.

“Saya percaya ini (vaksin) satu perkara yang diuji dengan baik dan berharap menjadi bukti keyakinan kepada orang ramai,” katanya.

Selain Amirudin, anggota Majlis Keselamatan Negeri antara 42 individu yang berbuat demikian pada jam 1.40 petang tadi.

Turut disuntik, Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman.


Pengarang :