Hee Loy Sian bercakap kepada media selepas meninjau tapak Projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) di Loji Rawatan Air (LRA) Ampang pada 23 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Tiada laporan henti tugas Loji Rawatan Air Ampang setakat Februari

AMPANG, 24 FEB: Kerajaan Negeri tidak menerima sebarang laporan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Ampang dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata pencapaian itu susulan arahan henti kerja sementara projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) bagi menstabilkan cerun.

“Ini membuktikan keberkesanan arahan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor kepada pemaju terbabit,” katanya selepas melawat tapak projek itu di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah laporan juga menurun tahun lalu iaitu 75 kes, berbanding 119 pada 2019 dan komited memastikan tiada henti tugas di loji berkenaan tahun ini.

Sementara itu, Loy Sian berkata Kerajaan Negeri akan meneliti projek pembinaan baharu supaya tidak memberi kesan terhadap lembangan Sungai Selangor.

“Kita ada terima projek besar seperti pembinaan lebuh raya termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Jika pencemaran berlaku, ia akan memberi impak sangat teruk kepada pengguna.

“Jadi, kita akan teliti kerana tidak mahu insiden projek EKVE berulang,” katanya lagi.


Pengarang :