Pengunjung pasar tani Seksyen 13, Shah Alam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mematuhi jarak fizikal ketika tinjauan pada 31 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tiada penjarakan fizikal kesalahan tertinggi ingkar arahan PKP

SHAH ALAM, 12 FEB: Gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal menjadi kesalahan tertinggi direkodkan semalam membabitkan 146 daripada 680 individu ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah individu dikenakan tindakan, 610 dikompaun, 59 direman manakala 11 lagi dibebaskan dengan jaminan.

Menurutnya, kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) lain meliputi aktiviti rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran iaitu 117 individu dan aktiviti pusat hiburan (106).

“Selain itu, tidak memakai pelitup muka (86), gagal menyediakan peralatan merekod maklumat pelanggan (64) dan keluar rumah tanpa alasan munasabah (36).

“Kesalahan lain ialah membawa penumpang berlebihan (25), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (23) dan lain-lain (77),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemantauan dijalankan di 6,014 restoran, pasar raya (4,335), bank (4,049), penjaja (2,347), kilang (1,671) dan pejabat kerajaan (889), terminal pengangkutan darat (1,174), terminal pengangkutan air (235) dan terminal pengangkutan udara (97).


Pengarang :