Selangorkini
Gambar Hiasan
AGENDA NASIONAL

TNB: Cara jimat elektrik semasa cuaca panas

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Cuaca panas yang dijangka berterusan hingga bulan depan boleh menyebabkan penggunaan elektrik yang tinggi, oleh itu Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengeluarkan panduan bagi menjimatkan tenaga elektrik di waktu cuaca panas.

Antara perkara mudah yang boleh diamalkan adalah mematikan penyaman udara, kipas dan lampu di dalam bilik yang kosong serta mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai digunakan.

Menurut panduan itu, ketika cuaca panas terik tindakan menutup tingkap dengan langsir tebal boleh menghalang haba masuk dan bebankan pendingin hawa, semakin kurang beban pada penyaman udara untuk menyejukkan bilik, semakin rendah penggunaan elektrik.

Selain itu, menghidupkan kipas pada waktu malam membantu penggerakan udara di dalam bilik selepas beberapa jam penyaman udara dihidupkan, suhu bilik akan berada dalam keadaan selesa dan menetapkan masa untuk mematikan penyaman udara juga boleh menjimatkan penggunaan elektrik.

TNB dalam kenyataan turut menekankan, cuaca yang panas ini boleh dimanfaatkan dengan menjemur pakaian daripada menggunakan mesin pengering pakaian dan elakkan suis alat pemanas air terbuka tanpa digunakan.

Pengguna digalak memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman.

Meter Pintar berupaya memantau penggunaan elektrik secara langsung, oleh itu, pengguna boleh mengendalikan tenaga dengan lebih efisien kerana meter ini boleh menghantar maklumat penggunaan tenaga kepada pengguna.

Maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak boleh didapati di www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks.

– BERNAMA

 


Pengarang :