Taman tema air di Morib Goldcoast
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tourism Selangor sokong tiada cukai hiburan, bantu taman tema terjejas

SHAH ALAM, 8 FEB: Pengecualian duti hiburan bagi bayaran masuk ke taman tema mulai Mac hingga hujung tahun membantu pengusaha meneruskan operasi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurus besar Tourism Selangor berkata sejak pelaksanaan PKP, para pengusaha berdepan kemelut susulan perniagaan ditutup bagi mengekang penularan Covid-19 .

“Bila inisiatif ini diumumkan, mereka dapat tarik nafas lega dan beri sinar baharu untuk teruskan operasi. Kita harap pengusaha lakukan promosi untuk tarik pengunjung,” kata Azrul Shah Mohamad kepada SelangorKini.

Menurutnya, meskipun sektor itu kembali dibenarkan beroperasi, taman teman tetap berdepan masalah memandangkan terikat tatacara operasi piawai yang ketat terutama pengurangan bilangan pengunjung.

“Oleh itu Tourism Selangor akan menggiatkan pelbagai usaha termasuk kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ dan pemberian baucar selain beberapa langkah lain seperti program jelajah dan acara pelancongan norma baharu,” katanya.

Selasa lalu, Dato Menteri Besar mengumumkan penguatkuasaan pengecualian itu bermula 18 Mac ini hingga 31 Disember melibatkan kesan kewangan berjumlah RM26.35 juta bagi meringankan beban pengusaha sektor berkenaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan cukai itu juga dikurangkan dari 25 kepada lima peratus selama lima tahun mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dengan impak RM21.04 juta setahun.


Pengarang :