Pemilik Mine Aura Salon, Siti Azura Rozali, 33, memotong rambut pelanggannya pada hari pertama kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi ketika tinjauan di Sungai Buloh pada 5 Februari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tukang gunting, peniaga pasar malam gembira dapat operasi semula

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Pengusaha di sektor perkhidmatan gunting rambut, peniaga pasar malam dan khidmat mencuci kereta, hari ini boleh menarik nafas lega selepas mereka dibenarkan beroperasi semula oleh kerajaan bermula hari ini, dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

Malah ada yang sebak tapi gembira, dengan kehadiran pelanggan walaupun ada yang mungkin tidak mencapai kapasiti sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas.

Bendahari Persatuan Gunting Rambut India (PGRI) Pulau Pinang V Tharmararaj berkata, beliau menerima sambutan pelanggan yang ramai pada hari pertama pembukaan, dan pihaknya berterima kasih kepada kerajaan dan sedia melaksanakan SOP yang ketat, untuk mengelakkan jangkitan wabak berbahaya itu.

Beliau berkata seawal jam 9.40 pagi, ada pelanggan daripada pelbagai kaum yang sudah beratur untuk gunting rambut, di kedai gunting rambut milik keluarganya.

“Kami telah menerima panggilan telefon daripada ahli persatuan semalam, semuanya gembira dan sangat bersyukur.

“Tetapi pada masa sama, ada rakan-rakan yang tidak mempunyai bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sempurna, kerana tidak mampu untuk membelinya selain ia sukar didapati. Jadi kita berkongsi stok yang ada pada kita, supaya semua boleh beroperasi secepat mungkin,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau yakin ramai tukang gunting rambut turut rasa terharu dengan sambutan yang amat menggalakkan pada hari pertama, selepas sekian lama terperangkap dalam masalah kewangan yang teruk.

Namun begitu, pusat cuci kereta di sekitar Seberang Perai, Pulau Pinang, berdepan nasib berbeza dan mendapati pusat mencuci kereta di sini walaupun dibuka seawal 8 pagi, namun bilangan pelanggan yang kurang memberangsangkan.

Pengurus Pusat Cuci Kereta Automatik yang terletak di Permatang Rawa Ng Jun Yao berkata, sejak jam 8 pagi, sambutan yang diterima tidak seperti mana yang dijangkakan menjelang Tahun Baharu Cina, seperti pada tahun-tahun sebelum ini.

“Tahun-tahun lalu sekiranya hampir dengan perayaan Tahun Baru Cina, ramai orang tempatan yang pulang ke kampung akan singgah di sini untuk mencuci kereta, sekarang kita hanya bergantung kepada orang sini. Namun begitu, saya gembira kerana akhirnya dibenarkan beroperasi,” katanya.

Beliau berkata syarikatnya terus membayar gaji kira-kira 12 pekerja serta diberi makan, walaupun pada ketika tidak dibenarkan beroperasi.

Di Tanah Merah, Kelantan, seorang pengusaha kedai gunting rambut Ku Syafiq Izzat Ku Aziz, 24, berkata, beliau boleh menarik nafas lega kerana hanya bergantung sepenuhnya kepada perniagaan itu sebagai sumber rezekinya.

“Ia memberi harapan kepada saya yang sebelum ini buntu untuk mencari pendapatan lain bagi menyara keluarga, memandangkan saya ketika ini menjadi ketua keluarga selepas ayah meninggal dunia lima tahun lalu.

“Dengan pendapatan tidak menentu kadang kala RM50 sehari menjadi punca pendapatan utama saya, syukur dan terima kasih kepada kerajaan, kerana membenarkan kami beroperasi,” katanya.

“Jika kami tidak dibenarkan beroperasi berterusan, berkemungkian besar saya akan gulung tikar akibat tidak mampu menampung kos sewa, disebabkan tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan perniagaan dan mahu mencari pekerjaan lain sukar,” kata Ku Syafiq yang berniaga di Kampung Padang Siam dekat sini, sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, peniaga pakaian di pasar malam sekitar sini Norhisyam Sidek, 31, yang berniaga sejak 2014, bersyukur keputusan kerajaan membenarkan pasar malam beroperasi semula, ibarat memberi ‘nyawa’ kepada golongan peniaga kecil sepertinya, kerana boleh menjana semula pendapatan mereka yang terjejas.

“Setelah sebulan tidak berniaga, akhirnya kami diberikan ‘nyawa’ untuk mencari pendapatan setelah hilang punca pendapatan, malah sedikit sebanyak kami mempunyai pengalaman beroperasi mengikut SOP apabila sebelum ini kerajaan membenarkan kami beroperasi, selepas pelaksanaan PKP tahun lepas,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran kepada pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat cuci kereta untuk beroperasi semula, setelah dinilai dari segi risiko dan jumlah kluster dihasilkan setiap aktiviti perniagaan tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :