AGENDANASIONAL

Tun Arifin ketuai jawatankuasa darurat, tiga wakil PAKATAN turut serta

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Seramai 19 individu dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara Tun Arifin Zakaria, berkuat kuasa serta merta.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mereka yang dilantik adalah bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Samsudin Osman; bekas ketua polis negara Tan Sri Norian Mai; bekas panglima angkatan tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; bekas ketua pengarah kesihatan Prof Tan Sri Dr Mohamad Taha Arif; bekas pakar bedah jantung Tan Sri Dr Yahya Awang.

Turut menganggotai jawatankuasa itu Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia Tan Sri Ter Leong Yap; Pro-Canselor Universiti Cyberjaya Tan Sri Dr R Palan, bekas timbalan pendakwaraya Pejabat Peguam Negara Datuk Sallehuddin Saidin, Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dan pakar kesihatan awam Prof Datuk Dr Andrew Kiyu Dawi Usop.

Selain itu juga dilantik bekas setiausaha kerajaan negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman; Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar; Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun.

Ahli Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook serta Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut tersenarai dalam jawatankuasa berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri berkata jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu berperanan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Sementara Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pula akan berperanan sebagai urus setia jawatankuasa ini.

– BERNAMA


Pengarang :