Kanak-kanak taska memulakan sesi pembelajaran ketika tinjauan di Tabika dan Taska Kemas Bunga Raya Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tutup sekolah tidak seragam jejas pembelajaran murid desa

SHAH ALAM, 23 FEB: Penutupan tabika yang tidak seragam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan pembelajaran kanak-kanak khususnya luar bandar.

Pensyarah kanan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor berkata langkah itu menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelbagai aspek berbanding kanak-kanak bandar.

“Tadika swasta dibuka bagi memudahkan ibu bapa bekerja meninggalkan anak-anak tetapi prasekolah dan tabika Kemas yang kebanyakannya di kampung tidak dibuka. Ini menimbulkan ketidakseimbangan bandar dan desa.

“Pelajar tabika di bandar sudah belajar dan boleh membaca, jadi saya terfikir bagaimana anak-anak kampung yang sampai hari ini masih belum bersekolah,” kata Amidi Abdul Manan dalam bual bicara secara langsung di Facebook semalam.

Beliau juga menyarankan pengajian dan pembelajaran di rumah dihentikan segera bagi memberi ruang kepada guru membuat persediaaan untuk sesi persekolahan secara bersemuka.

Sesi persekolahan bagi murid prasekolah, tahun satu dan dua di seluruh negara bermula pada 1 Mac manakala tahun tiga hingga enam mulai 8 Mac.

Sementara itu, mantan menteri pendidikan mencadang penubuhan Majlis Tindakan Kebangsaan untuk membuat semak dan imbang sektor pendidikan.

Menurut Dr Maszlee Malik, ia perlu diwakili Persatuan Ibu bapa dan Guru, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan wakil rakyat pembangkang.


Pengarang :