AGENDAEKONOMINASIONAL

Untung bersih Petronas Dagangan turun kepada RM279 juta pada 2020

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Petronas Dagangan Bhd (PDB) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM276 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2020 berbanding RM829.54 juta tahun sebelumnya kerana ia dipengaruhi oleh cabaran luaran termasuk penurunan harga produk petroleum yang mendadak pada awal tahun dan sekatan perjalanan berkaitan akibat pandemik Covid-19.

Pendapatan untuk bagi tahun kewangan 2020 turun menjadi RM18.71 bilion daripada RM30.29 bilion tahun ke tahun terutamanya dipengaruhi oleh jumlah jualan yang lebih rendah dan kemerosotan purata harga jualan.

Syarikat itu berkata ia mencatatkan pemulihan secara beransur-ansur pada suku ketiga tahun 2020 tetapi pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada suku keempat telah menjejaskan trajektori pertumbuhan PDB.

Untuk suku keempat 2020, PDB mencatatkan keuntungan bersih RM89.21 juta berbanding RM126.59 juta, manakala perolehan berjumlah RM4.39 bilion daripada RM7.79 bilion tahun ke tahun.

“Walaupun tahun 2020, tahun yang mencabar, ini merupakan pemboleh inovasi. Kami telah mempercepatkan pelan kami untuk mempelbagaikan portfolio produk PDB dan melaksanakan pendigitalan terhadap operasi kami sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk berdaya tahan dalam perniagaan,” kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Beliau berkata PDB menjangka pelaksanaan semula PKP ketika ini merupakan cabaran buat sementara waktu terutama pada suku pertama 2021.

“Justeru, usaha kami dalam mencipta peluang baharu untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah akan menjadi perkara penting kepada pertumbuhan perniagaan dan pembangunan PDB,” kata Azrul.

Dalam memenuhi perubahan tingkah laku pembelian dan penggunaan pelanggan, PDB telah mempercepatkan pengembangan penawaran makanan dan minumannya untuk memasukkan lebih banyak pilihan makanan melalui inisiatif Makan @ Mesra.

Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan bukan bahan bakar PDB, Makan@Mesra menawarkan pelbagai makanan premium segar dan seimbang pada harga yang berpatutan untuk mengatasi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian terhadap makanan siap dimakan.

Sehingga kini, terdapat sembilan stesen Petronas menawarkan Makan@Mesra dan syarikat itu merancang untuk menambah kepada 200 stesen pada akhir tahun 2021, kata PDB.

PDB juga baru-baru ini melancarkan Segar@Mesra di empat stesennya, ia menawarkan hasil pertanian tempatan; ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga yang berpatutan.

Ia berkata inisiatif itu memberi kemudahan kepada masyarakat pilihan yang lebih mudah untuk memenuhi keperluan bagi masakan harian serta faedah tambahan dalam menghubungkan petani tempatan dengan pelanggan serta masyarakat.

Harga saham PDB ditutup dua sen lebih tinggi kepada RM19.20 pada Bursa Malaysia pada Jumaat.

– BERNAMA

 


Pengarang :