Wan Shazerina Izlin Wan Mohd Zahid bersama snek penambah tenaga yang dijual secara dalam talian dan mendapat permintaan tinggi pelanggan. Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Usahawan snek penambah tenaga sertai Sitec, e-dagang gandakan untung

SHAH ALAM, 20 FEB: Pandemik sejak Mac tahun lalu memberi kesan besar terhadap perniagaan Wan Shazerina Izlin Wan Mohd Zahid, usahawan snek penambah tenaga.

Jualan kasar yang diperoleh RM10,000 sebulan merosot mendadak kepada RM2,000 pada bulan pertama Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa mulai 18 Mac.

Tanpa penganjuran acara sukan yang sebelum ini tumbuh bagai cendawan, jualan snek jenama Marathon Baker Homemade Energy Bar (Marathon Baker) keluaran syarikatnya terjejas teruk.

Bermacam-macam strategi pemasaran dijalankan termasuk mempromosi snek itu kepada petugas barisan hadapan Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultanah Aminah Johor tetapi kurangnya pelanggan bertandang ke kedai menyebabkan keuntungannya hanya “cukup makan”.

Namun, sejak menyertai kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega anjuran Majlis Teknologi Maklumat dan e-Dagang Selangor (Sitec), jualan produknya meningkat 50 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Kini, PKP dilaksanakan semula. Namun, Wan Shazerina Izlin yang turut dinobat sebagai Penjual Unggul dalam e-bazar itu lebih bersedia dan tidak lagi segusar dahulu.

Mula berniaga

Wan Shazerina Izlin memulakan perniagaan bersama rakan kongsinya Zarina Abdul Rahman pada 2016.

Bermodal RM5,000 bagi membeli pengadun dan ketuhar, snek itu asalnya dihasilkan Zarina untuk kegunaan sendiri pada 2014. Snek itu menggunakan kurma sebagai sumber tenaga utama dan ditambah bahan lain seperti oat dan kacang bagi mengekalkan tenaga dan membaiki tisu badan ketika beriadah.

Produk Marathon Baker popular dalam kalangan penggiat sukan khususnya kegiatan jarak jauh. Jualan meningkat setiap tahun.

Mereka kerap membuka gerai pada acara larian antaranya Malaysia Women Marathon, Selangor Marathon dan UiTM Ultra. Namun, pelaksanaan PKP menjejaskan perkembangan perniagaan sebelum mereka menyertai program Sitec pada November 2020.

“Saya mula mengetahui tentang Sitec ketika menghadiri kempen PJ Startup Festival beberapa tahun lepas dan terus mendaftar menjadi usahawan apabila mendapati banyak kelas bermanfaat dikendalikan mereka, bahkan tenaga pengajar jemputan juga bukan calang-calang orangnya,” kata Shaz.

Lebih membanggakan, Sitec menyenaraikan beliau sebagai Penjual Unggul bagi kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega tahun lalu.

“Tersenarai sebagai Penjual Unggul suatu yang tidak diduga kerana banyak lagi perancangan belum terlaksana.

“Kami lihat peningkatan jualan 50 peratus dari bulan sebelum itu. Kami bangga kerana kempen itu memberi hasil memuaskan walaupun acara larian dihentikan ketika ini,” katanya.

Jualan meluas melalui Lazada, platform yang menjayakan kempen tersebut, jualan produk turut melangkaui golongan pelanggan, tidak lagi terhad kepada penggiat sukan semata-mata

Shaz juga menggalakkan peniaga mendaftar sebagai usahawan Sitec kerana banyak program membantu usahawan berdaya saing melalui pengupayaan digital.

Beliau menyifatkan kaedah e-dagang membantu meningkatkan pulangan asalkan usahawan bijak mengiklan produk secara berkesan dengan memfokus sasaran pelanggan yang tepat.

“Banyak inisiatif disediakan untuk membantu usahawan daripada segi kewangan atau pengetahuan. Kini juga ada Rantaian e-Bekalan Digital Selangor, platform untuk peniaga memasarkan produk selain Jelajah Usahawan Digital Selangor,” katanya.

Sembilan perisa

Kini, Marathon Baker ada sembilan perisa untuk pilihan cita rasa pelanggan. Ada perisa coklat, kopi, kacang dan buah-buahan, bahkan untuk mereka yang alah laktosa (lactose intolerant) dan tiada kacang bagi penghidap gout.

“Produk popular kami ialah Gummy Ultra Sports Pastilles yang dihasilkan menggunakan rumpai laut dan agar-agar. Produk ini dibeli mereka yang suka berlari jarak jauh.

“Snek tenaga kami tiada gula tiruan atau pengawet bahkan kaya pelbagai kekacang dan bijian yang membekal sumber protein. Ia ibarat ‘compact food’ kerana padat dengan khasiat,” katanya sambil menambah mereka juga ada menghasilkan biskut berprotein tinggi.


Pengarang :