Norashikin Mohamad Amaran (tiga, kanan) bergambar bersama sebahagian murid yang menggunakan perkhidmatan van miliknya untuk ke sekolah sebelum PKP dikuat kuasa semula
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Usahawan van sekolah pelbagaikan produk, tangkis bahana PKP

Foto oleh ASRI SAPFIE

SHAH ALAM, 7 FEB: Sebelum ini, usahawan van sekolah mampu menaja pekerjanya menunaikan umrah, namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir meruntuhkan perniagaannya.

Penutupan semua sekolah pada Mac tahun lalu, kali kedua pula cuma untuk calon peperiksaan menjejaskan operasi. Sebanyak 17 van tersadai begitu sahaja pada PKP pertama. Kali ini pula, hanya dua van beroperasi.

Pendek kata, perolehan Aisy Trading Services, syarikat yang dibina Norashikin Mohamad Amaran, 48, sejak 2008, merudum.

Pun begitu, kebajikan pekerja tetap dititik berat. Gaji dibayar menggunakan wang simpanan syarikat hasil jimat cermat, lama sebelum dunia mengenal Covid-19.

Norashikin Mohamad Amaran, 48, ketika ditemu bual SelangorKini baru-baru ini

Seperti sebelum ini, Norashikin tidak duduk diam. Berbekal kreativiti dan kudrat keringat, cabang perniagaan lain diceburinya demi menampung kelompangan pendapatan.

Beliau meneruskan jualan pek makanan tengah hari yang dimasak sendiri. Meski pendapatan jauh lebih kecil berbanding RM80,000 sebulan yang diraih tanpa PKP, sekurang-kurangnya perniagaannya tetap teguh.

Beliau juga ada menjana pendapatan RM8,000 sebulan dengan membuat penghantaran Pos Laju ketika PKP dahulu.

Tumpangkan anak jiran

Norashikin mendapat idea memulakan perniagaan van sekolah pada 2001 berikutan beliau kerap menumpangkan anak beberapa jiran ke sekolah.

Beliau kemudian memulakan perkhidmatan itu berbekal sebuah van Perodua Rusa. Bilangan kenderaan ditambah satu demi satu bagi menampung permintaan yang kian meningkat. Kebanyakannya van terpakai.

Pada 2008, beliau mendaftar perkhidmatannya.

Sehingga kini, kira-kira 700 pelajar sekitar Jalan Kebun, Rimbayu, Kota Kemuning, Bukit Rimau dan Kampung Lombong menggunakan perkhidmatan mereka.

Kegigihan Norashikin memudahkannya mendapat kepercayaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang lima kali memberi pinjaman untuk mengembangkan perniagaan.

Sebahagian kanak-kanak yang menggunakan perkhidmatan van milik Norashikin Mohamad Amaran

Pertama kali berbuat demikian pada 2015 membabitkan RM3,000 sebelum jumlahnya meningkat pada tahun-tahun berikutnya iaitu RM8,000, RM20,000 dan RM40,000.

“Alhamdulillah, dengan kepercayaan Hijrah yang banyak membantu, saya dapat meluaskan operasi syarikat hingga mampu memiliki 17 kenderaan menghantar pelajar sekolah dan tempat transit,” katanya kepada SelangorKini.

Terakhir, sebanyak RM50,000 untuk membeli van secara tunai, hanya sebulan sebelum pelaksanaan PKP yang membawa bahana kepada perniagaannya.

Betapa tidak? Sebelum dunia mengenal Covid-19, beliau saban tahun menghantar seorang pekerja terbaik mengerjakan umrah hasil keuntungan perniagaan. Selepas ditolak kos bulanan – RM30,000 untuk gaji, ansuran kenderaan (RM10,000), kos petrol dan penyelenggaraan (RM15,000) – untung bersih masih membukit.

Norashikin dan suami juga beberapa kali mengerjakan umrah. Bahkan, mereka mampu membawa empat anaknya bercuti ke luar negara setiap kali cuti sekolah hujung tahun.

Kewangan cekap

Namun, apabila dikepung PKP pendapatan syarikat merudum. Mujur ada penangguhan bayaran atau moratorium ansuran kenderaan, rumah dan pinjaman Hijrah. Sedikit sebanyak meringankan beban niaga sepanjang tempoh PKP.

Masalah tidak habis di situ. Menjelang pengumuman sekolah kembali dibuka pada Julai, beliau terpaksa berbelanja RM15,000 untuk memperbaharui cukai jalan, pemeriksaan Puspakom dan permit van sekolah.

Norashikin Mohamad Amaran yang memiliki 17 kenderaan menggunakannya untuk menghantar pelajar sekolah dan tempat transit

“Sepanjang empat bulan sekolah tutup, 17 van untuk bawa murid terbiar begitu sahaja. Banyak yang tamat cukai jalan, permit dan perlu pemeriksaan Puspakom.

“Jadi, saya kena keluarkan pula belanja untuk memastikan boleh beroperasi dengan sah supaya tidak timbul masalah jika berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Namun, beliau bersyukur kerana pengurusan kewangan cekap termasuk memiliki aliran tunai dan simpanan syarikat yang baik menjadi kunci utama.

Kini, PKP datang lagi. Walau tidak seketat dahulu, Norashikin tetap tenang mendepaninya, kekal cekal mengharungi ranjau PKP.

 

 


Pengarang :