Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Emile Muller, Mulhouse, Perancis pada 8 Januari 2021. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Vaksin lalui proses nilai, dipantau selepas diguna

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Vaksin keluaran Pfizer-BioNtech adalah vaksin Covid-19 yang pertama diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mestilah melalui proses penilaian sewajarnya dan sentiasa dipantau rapat setelah ia digunakan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin berkenaan diberi kelulusan pada 8 Januari lepas dengan nama Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection.

“Antara kriteria yang diteliti oleh PBKD dan NPRA adalah profil keselamatan vaksin, kualiti vaksin, dan vaksin yang mempunyai nilai efikasi baik untuk digunakan untuk kesemuarakyat Malaysia.

Pesawat MH604 dengan hiasan livery Jalur Gemilang membawa 312,390 dos vaksin Covid-19 mendarat di KLIA pada 21 Februari 2021. Foto: BERNAMA

“Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan sentiasa mengutamakan kesihatan rakyat Malaysia dengan memantau dan meneliti semua ubat-ubatan termasuk vaksin yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Beliau berkata pendaftaran bersyarat itu diberikan bertujuan memberikan akses segera kepada vaksin Covid-19 semasa tempoh pandemik ini menggunakan risk-based approach (pendekatan berasaskan risiko) tanpa mengabaikan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Dr Noor Hisham berkata kriteria lain bagi membolehkan kelulusan bersyarat itu antaranya adalah vaksin telah berdaftar atau diberi ‘emergency use authorization’ (keizinan penggunaan semasa kecemasan) oleh badan regulatori negara pengeluar atau badan regulatori rujukan oleh PBKD atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Trak DHL Express yang membawa vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Pusat Simpanan Vaksin (PSV) pada 21 Februari 2021. Foto: BERNAMA

Turut hadir menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin berkenaan ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Pesawat Airbus 330-300 yang membawa 312,390 dos vaksin Covid-19 mendarat pada jam 10.07 pagi hari ini dan dihantar ke 16 lokasi pusat simpanan vaksin seluruh negara iaitu enam di Selangor, Johor (4), Kuala Lumpur (3), Pulau Pinang (2) dan satu di Putrajaya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Noor Hisham akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19, Rabu ini sekali gus menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang digerakkan lebih awal daripada jadual asal.

– BERNAMA


Pengarang :