Orang ramai beratur menunggu giliran menjalani saringan dalam program Saringan Komuniti Covid-19 di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wakil rakyat dicadang anjur program saringan Covid-19

SHAH ALAM, 8 FEB: Semua wakil rakyat Selangor dicadang melaksanakan tajaan saringan di kawasan masing-masing bagi mengekang perebakan Covid-19.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor berkata inisiatif tersebut menggalakkan orang ramai yang menetap di lokasi berisiko tinggi serta kurang berkemampuan melakukan ujian.

“Perkara ini ada dibincang menerusi pertemuan Ahli Dewan Negeri (ADN) bersama EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud pada minggu lepas.

“Kita tahu kos melakukan ujian Covid-19 agak tinggi, justeru tawaran serendah RM50 diharap mendorong rakyat untuk melakukan saringan,” kata Elizabeth Wong yang juga ADN Bukit Lanjan kepada SelangorKini hari ini.

Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan berkongsi data terkini dari semasa ke semasa bagi memudahkan tugas wakil rakyat selain memastikan keberkesanan program saringan.

Pada Sabtu, Elizabeth bersama dua lagi wakil rakyat Pakatan Harapan (PAKATAN) iaitu Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menawarkan saringan Covid-19 pada harga serendah RM50.

Inisiatif sama turut dilaksanakan beberapa wakil rakyat negeri sebelum ini.

 


Pengarang :