Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan mengaminkan doa sebelum menduduki peperiksaan itu pada 22 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Waktu mula peperiksaan SPM sesi petang dipinda mulai Isnin

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Waktu mula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sesi petang dipinda dari pukul 2 petang kepada 2.15 petang, berkuat kuasa mulai 1 Mac hingga tamat peperiksaan itu pada 25 Mac.

Dengan pindaan itu, waktu tamat peperiksaan juga akan dilanjutkan selama 15 minit.

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia (LPKPM) dalam satu kenyataan menyatakan, pindaan itu bertujuan untuk memberi ruang dan keselesaan kepada calon untuk berehat, makan dan menunaikan sembahyang, sementara menunggu waktu mula peperiksaan bagi sesi tersebut.

“Sehubungan itu, LPKPM memohon kerjasama semua pihak yang terlibat dengan SPM 2020 termasuk calon, ibu bapa, petugas peperiksaan, pihak sekolah, pejabat pendidikan daerah (PPD) serta jabatan pendidikan negeri (JPN), mengambil perhatian dan tindakan berkaitan,” katanya.

Pindaan itu dibuat demi kepentingan dan kebajikan calon untuk memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

– BERNAMA


Pengarang :