ADNBERITA UTAMASELANGOR

Warga emas terharu wakil rakyat mahu baiki rumah usang

SHAH ALAM, 1 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib akan membantu membaik pulih rumah seorang warga emas yang hidup dalam keadaan daif di Kampung Kanchong Darat, Banting dekat sini.

Hasnul Baharuddin berkata perkara itu diputuskan selepas mengesan situasi dihadapi Safuan Tanut, 76, ketika hadir menghulurkan sumbangan Covid-19 di situ semalam.

“Kami sempat singgah di pondok usang yang dibina dari kutipan kayu buruk. Pandangan yang cukup hiba untuk tahun ini dan sangat tidak diduga bagaimana ada penduduk boleh hidup dalam keadaan begitu.

“Justeru kami umumkan untuk baik pulih rumahnya dalam masa terdekat. Beliau menangis riang dengan berita gembira itu,” katanya di Facebook.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor berkata paling menyedihkan apabila Safuan hanya bergantung kepada pendapatan RM300 dengan melakukan kerja kampung.

Katanya, atas faktor kesempitan hidup beliau sekadar mampu memakan nasi berlauk sayur ditanam di tepi rumah dan jauh sekali menikmati juadah ayam mahu pun daging.


Pengarang :