Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah YADIM Johor, Muhamad Ammar Abdullah menyerahkan sumbangan kepada penghuni rumah kebajikan orang tua. Foto Facebook Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim)
AGENDANASIONAL

Yadim terbuka beri kefahaman berhubung Islam kepada masyarakat

JOHOR BAHRU, 13 FEB: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sentiasa terbuka untuk memberikan kefahaman berhubung ajaran Islam berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada seluruh masyarakat negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata ini termasuk memberi kefahaman kepada mereka yang terlibat dalam ajaran ‘Agama Melayu’ yang dipercayai dibawa oleh individu dikenali sebagai ‘Ibu Yati’.

“Yadim akan menerima semua pihak yang ingin mendapatkan penjelasan berhubung agama Islam yang sebenar. Kita sangat-sangat terbuka,” katanya kepada pemberita pada program Yadim Peduli: Ziarah Prihatin Sempena Tahun Baharu Cina di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu ajaran ‘Agama Melayu’ yang sebelum ini dilaporkan sedang disiasat oleh pihak berkuasa selepas dikatakan menggunakan lafaz syahadah yang pelik serta disambung dengan pengakuan “Aku Melayu” sebanyak tujuh kali.

Tuan Kamarul Arief berkata pihaknya akan menggerakkan Majlis Amal Islami iaitu satu entiti di bawah Yadim untuk memberikan kefahaman berhubung ajaran Islam sebenar selain menggiatkan usaha menerusi pelbagai platform lain termasuk media sosial.

Menurutnya, pelbagai program penerangan kepada masyarakat sedang diatur Yadim merangkumi penggunaan webinar dan Facebook selain bergerak ke seluruh negara menerusi program Nadwah Islam Kekuatan Ummah (Nadiku 2021), yang dijangka dilakukan akhir bulan ini.

Mengenai program ziarah prihatin tersebut, Tuan Kamarul Arief berkata pihaknya memperuntukkan RM30,000 untuk menyalurkan sumbangan barangan keperluan seperti beras, lampin pakai buang, telekung serta bantal kepada Persatuan Kebajikan Orang Tua Ceria Johor Bahru, Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan serta 10 Rumah Saudara Kita di sekitar bandar raya ini.

Program dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Johor dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Johor itu katanya mengetengahkan konsep harmoni dalam memupuk perpaduan sekali gus menonjolkan Islam sebagai agama yang indah.

– BERNAMA


Pengarang :