AGENDANASIONAL

10 kawasan di Semenanjung rekod gelombang haba tahap kuning

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Sebanyak 10 kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga setakat 4.30 petang semalam, demikian menurut data status gelombang haba Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Semakan status gelombang haba di portal rasmi MetMalaysia hari ini mendapati, kawasan terbabit melibatkan empat daerah di Perak iaitu Kuala Kangsar, Kinta, Batang Padang dan Hilir Perak, manakala tiga di Kelantan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

Status gelombang haba yang sama turut dikesan di Tampin, Negeri Sembilan serta Tangkak dan Kluang di Johor.

Tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Bagi status tahap jingga atau ‘heatwave’ pula ialah suhu maksimum harian 38 hingga 40 darjah Celsius dan tahap merah (kecemasan) untuk suhu melebihi 40 darjah Celsius, masing-masing bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, seluruh kawasan di Sabah dan Sarawak merekodkan suhu maksimum harian kurang 35 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Sebelum ini, Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga pertengahan bulan ini, dengan taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia, terutamanya di negeri-negeri utara.

Bagaimanapun MetMalaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini.

– BERNAMA


Pengarang :