ADN Morib Hasnul Baharuddin memantau kerja sanitasi yang dijalankan di Masjid Al Muttaqin Kampung Permatang Pasir pada 17 Mac 2021. Foto Facebook Hasnul Baharuddin
ADNSELANGOR

10 masjid, 30 surau DUN Morib terima peruntukan sempena Ramadan

SHAH ALAM, 18 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib memperuntuk RM40,000 untuk diagihkan kepada 30 surau dan 10 masjid di kawasan itu.

Wakil Rakyat Hasnul Baharuddin berkata sumbangan bertujuan meringankan beban pengurusan menjalankan aktiviti atau tambah baik rumah ibadat tersebut.

“Malah, agihan ini juga sempena kedatangan bulan Ramadan. Kita harap ahli jawatankuasa memainkan peranan melaksanakan aktiviti dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Sumbangan ini juga membantu tambahkan kutipan tabung masjid atau surau yang berkurangan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, DUN berkenaan turut mengadakan program sanitasi di masjid sekitar Morib demi mencegah penularan Covid-19.

Hasnul berkata isu kebersihan masjid dan surau antara yang menjadi keutamaan dalam pengurusan rumah ibadah terutama ketika berdepan dengan ancaman pandemik.

“Cakna dengan keperluan berkenaan, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Morib tampil dengan pasukan khas sanitasi masjid mengambil tanggungjawab membersihkan keseluruhan ruang masjid termasuk ruang pejabat dan ruang solat muslimah,” katanya.


Pengarang :