Petugas Kesihatan Selcare membantu penduduk mendaftar sebelum melakukan saringan Covid-19 ketika Saringan Komuniti di Dewan Resak, Subang Perdana Shah Alam pada 6 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

100 peserta beratur seawal 8 pagi untuk jalani saringan percuma

SHAH ALAM, 6 MAC: Kira-kira 1,000 peserta disasar menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 dari jam 9 pagi hingga 4 petang di Dewan Resak Subang Perdana hari ini.

Pengurus Operasi Klinik Selcare berkata sasaran itu berdasarkan sambutan amat memberangsangkan apabila 100 orang mula beratur seawal jam 8 pagi tadi.

“Kita percaya ramai yang ambil peluang disediakan Kerajaan Negeri memandangkan inisiatif ini percuma berbanding di luar perlukan bayaran.

“Malah, masyarakat juga perlu bersikap tanggungjawab serta beranikan diri untuk disaring dan pada masa sama usaha memutuskan rantaian wabak,” kata Mohd Noor Md Nasir.

Menurutnya, saringan menggunakan ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) yang mana keputusan boleh diterima dalam masa 24 jam sahaja.

Saringan percuma itu menyasarkan penduduk berhampiran Taman Subang Perdana, Taman Nusa Subang, Taman Pinggiran Subang dan Taman Subang Idaman.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta untuk melaksanakan saringan komuniti bagi membendung perebakan Covid-19 dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat.

Mereka yang hadir diminta mendaftar di http://screening.selangkah.my bagi melancarkan proses.


Pengarang :