Siti Hadibah Muhamad, 37, gembira menerima sumbangan keperluan asas dalam suatu majlis di Parit 10 Timur, Sabak Bernam pada 9 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

12,000 petani terjejas wabak Covid-19 terima bantuan makanan

SABAK BERNAM, 9 MAC: Seramai 12,000 petani seluruh Selangor menerima bantuan makanan asas susulan penularan pandemik Covid-19.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata jumlah itu membabitkan 7,000 penerima sepanjang tahun ini manakala 5,000 pada Mac hingga Disember tahun lalu.

“Semua menerima bantuan berupa beras, minyak, gula, biskut dan sebagainya dengan anggaran RM100 seorang.

“Kita akan sentiasa membantu golongan ini kerana mereka turut terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Kelong Paradise Waterfront Resort di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan 10,160 petani menerima sumbangan keperluan pertanian menerusi Pakej Kita Selangor.

“Ini termasuk bantuan makanan ternakan ruminan dan bukan ruminan, makanan ternakan akuakultur, baja kompos serta baucar petrol bernilai RM300 dengan keseluruhan berjumlah RM1.5 juta,” katanya.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentang Pakej Kita Selangor bernilai RM73.8 juta dengan RM2 juta darinya untuk sektor pertanian.

Pakej itu antara lain melibatkan pelupusan pinjaman pelajaran, bantuan makanan, mencipta pekerjaan dan pembelajaran percuma.

 

 


Pengarang :