Reaksi Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika keluar dari Klinik Kesihatan Kuala Lumpur selepas menerima suntikan vaksin Covid-19, hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

27,000 pegawai, anggota polis terima vaksin Covid-19 fasa pertama

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyenaraikan seramai 27,000 nama pegawai dan anggota di lima kontinjen polis negeri untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PDRM menyasarkan lebih 50 peratus pegawai dan anggotanya untuk diberi suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat.

Beliau berkata bagaimanapun, sembilan kontinjen polis negeri masih lagi menunggu senarai nama.

“Saya tiada jumlah tepat senarai nama penerima vaksin Covid-19 tetapi ribuan pegawai dan anggota polis akan diberi vaksin pada fasa pertama ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur di sini.

Turut menerima suntikan itu ialah Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Mazlan Lazim serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim.

Sementara itu, menceritakan pengalaman beliau disuntik vaksin tersebut, Abdul Hamid berkata ia tidak menyakitkan dan memberi jaminan bahawa vaksin berkenaan adalah selamat.

“Saya baru sahaja menerima vaksin pertama pada hari ini dan Alhamdulillah, prosesnya begitu mudah malah suntikan itu tidak menimbulkan sebarang rasa sakit kepada badan saya.

“Selepas 45 minit disuntik, saya tidak merasakan sebarang perbezaan kepada diri saya dan proses suntikan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cukup teratur,” katanya.

Mengulas mengenai segelintir warga PDRM yang was-was terhadap suntikan vaksin itu, Abdul Hamid menyeru pegawai dan anggotanya agar menghentikan perbuatan mendengar dan membaca maklumat tidak sahih berhubung vaksin tersebut.

“Saya perlu menunjukkan satu contoh kepada anak buah saya (warga PDRM) bahawa saya telah menerima vaksin ini dengan selamat dan saya dengar sekumpulan (pegawai dan anggota polis) lagi masih ragu-ragu akan proses suntikan vaksin ini.

“Saya sebagai ketua pasukan dalam PDRM, memberi jaminan tiada apa yang hendak diragukan atau luar biasa berhubung vaksin berkenaan,” katanya.

Abdul Hamid berkata maklumat yang tidak benar mengenai vaksin ini seharusnya dihentikan serta-merta dan mereka perlu mendengar pandangan KKM serta pakar kesihatan.

“Oleh itu, mana-mana individu yang menghasut atau menghebahkan berita palsu kepada masyarakat supaya tidak ambil vaksin Covid-19 boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan,” katanya.

Ditanya sama ada PDRM menerima laporan berhubung golongan antivaksin yang menghasut dan menghebahkan berita tidak tepat berhubung isu vaksin, beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis setakat ini.

– BERNAMA


Pengarang :