Zawawi Ahmad Mughni menjawab pertanyaan ketika sidang media selepas majlis pelancaran buku Arif Belanja di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

3,000 penduduk DUN Sungai Kandis terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 19 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis memperuntuk RM50,000 membantu golongan terjejas pandemik Covid-19 terutama keluarga berpendapatan rendah (B40) sepanjang tahun ini.

Wakil rakyatnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata bantuan makanan asas diberikan sebagai langkah memastikan penduduk tidak terputus bekalan makanan.

“Jumlah berkenaan melibatkan kira-kira 3,000 penerima termasuk perantau dari negeri lain yang tinggal dalam DUN Sungai Kandis.

“Serahan dibuat menerusi beberapa pihak antaranya ketua kampung dan ahli majlis. Langkah ini dapat memastikan sumbangan sampai kepada golongan sasar,” katanya pada majlis pelancaran Buku Arif Belanja 2021 di bangunan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) semalam.

Menurutnya bantuan juga akan diteruskan ketika Ramadan ini bagi memudahkan golongan kurang berkemampuan dapat menyediakan persiapan lengkap.

“Kita akan santuni mereka dan pastikan golongan ini akan menyambut bulan puasa dengan sempurna,” katanya.


Pengarang :