Hee Loy Sian meninjau kerja mengawal kebakaran dilakukan anggota bomba di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat pada 2 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

34 hektar Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan terbakar, angkara khianat

KUALA LANGAT, 2 MAC: Kira-kira 34 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan (HSKKLS) terbakar disyaki akibat perbuatan khianat daripada aktiviti pembakaran terbuka.

EXCO Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata kebakaran itu meliputi 0.45 peratus daripada 7,416 hektar keseluruhan kawasan hutan.

Menurut Loy Sian kebakaran itu mengakibatkan tumbuhan daripada spesies mahang, sendayan serta tanaman kontan milik petani musnah.

“Pada awalnya, Jabatan Perhutanan Negeri mula mengesan titik panas di HSKKLS pada 27 Januari lalu akibat aktiviti pembakaran terbuka.

“Kemudian, pada 22 Februari, tujuh lagi titik panas dikesan. Namun sehingga hari ini, sudah terdapat 16 titik panas akibat daripada pembakaran hutan berkenaan,” katanya selepas meninjau lokasi kebakaran pagi tadi.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata seramai 130 petugas kini berada di lokasi bagi memadamkan kebakaran yang dijangka selesai dalam tempoh enam minggu.

“Antara agensi terlibat ialah Jabatan Perhutanan Negeri, bomba, unit pengurusan bencana, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Jabatan Mineral dan Geosains Selangor,” katanya lagi.


Pengarang :