Yang Dipertua PEKAWANIS, Datin Seri Masdiana Muhamad bersama Adun Sentosa, Gunarajah George bergambar bersama penerima Anugerah Wanita Sentosa ketika Majlis Minum Petang WOW Sentosa sempena Hari Wanita Sedunia di Klang Executive Club, Klang pada 20 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN
ADNBERITA UTAMASELANGOR

60 usahawan wanita berjaya dilahirkan di DUN Sentosa

KLANG, 21 MAC: Seramai 60 daripada 200 peserta Wonderful of Women (WOW) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa berjaya menjadi usahawan sejak pertubuhan itu diwujudkan dua tahun lalu.

Wakil rakyatnya Gunaraj George berkata kebanyakan peserta menceburi perniagaan minyak wangi, katering, makanan tradisional, bakeri dan biskut.

Menurut Gunaraj, pihaknya menyediakan lokasi sesuai kepada usahawan terbabit untuk memasarkan produk masing-masing melalui ‘car boot sale’.

“Potensi perniagaan mereka sangat baik kerana sedar bahawa pendapatan isi rumah harus ditingkatkan pada masa kini terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Malah, mereka mengambil komitmen sendiri dan sanggup bekerja kuat untuk membantu suami sehingga ada yang meraih pendapatan tambahan mencecah sehingga RM3,000 sebulan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis minum petang anjuran WOW DUN Sentosa sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Kelab Eksekutif Klang di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan seramai 100 usahawan wanita dilahirkan setiap tahun selain berhasrat menarik lebih ramai mendaftar dalam pertubuhan terbabit.

“Justeru, mereka perlu diberi kesedaran untuk sentiasa bersedia meneroka dunia perniagaan. Tidak kira sama ada sudah berkerjaya atau sebaliknya, tetapi jika ada masa terluang kesempatan itu harus diambil,” katanya.

WOW ditubuhkan bagi memperluas peluang kepada wanita dalam bidang pendidikan, perniagaan, sosial dan politik selain memelihara hak serta kepentingan wanita secara adil dan saksama.


Pengarang :