Hee Loy Sian (kanan) beramah mesra dengan penduduk Orang Asli yang menerima bakul makanan di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi pada 21 Mac 2021. Foto NADIAH ZAMLUS/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

6,000 Orang Asli Selangor dapat bantuan makanan

DENGKIL, 21 MAC: Seramai 6,000 Orang Asli bakal terima bantuan bakul makanan daripada Kerajaan Selangor sepanjang tahun ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata bantuan membabitkan peruntukan RM600,000 itu disalurkan Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) menerusi Pakej Kita Selangor.

“Pada tahun ini, Kampung Orang Asli Bukit Tampoi menjadi kampung pertama menerima bekalan makanan asas sebanyak RM100 dan diteruskan ke 73 kampung lain di seluruh Selangor.

“Bagaimanapun ini adalah sumbangan kali kedua selepas dilaksanakan tahun lalu. Kami berharap ia dapat meringankan beban Orang Asli yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 118 bakul makanan kepada penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tampoi, di sini pagi tadi.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Norita Mohd Sidek dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor dan Wilayah Persekutuan, Zainul Adnan Zainal Abidin.

Pada 9 April lalu, Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM297,050 untuk mengagihkan bantuan kepada 22,992 Orang Asli di seluruh negeri ini.

Kerajaan Negeri sekali lagi membelanjakan RM600,000 bagi bantuan yang sama pada Januari lalu.

 


Pengarang :