Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan cek kepada penerima ketika program penyerahan bantuan bakul makanan kepada pemandu bas dan teksi di Dewan Terbuka Kampung Melayu Batu Caves, Gombak pada 9 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

68,000 bantuan makanan diagih kepada rakyat Selangor

GOMBAK, 10 MAC: Sebanyak 68,000 bakul makanan diagih kepada penduduk di negeri ini sejak Januari lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurutnya, bantuan itu disalurkan kepada individu yang terjejas pendapatan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa kali kedua.

“Bantuan ini masih berjalan dan kita akan terus mencari rakyat yang terjejas pendapatan susulan daripada PKP ini.

“Selain makanan kering seperti beras, tepung dan minyak, Kerajaan Negeri juga menyumbang makanan basah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran kepada penerima,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Chan Yon Tap, 65

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan bakul makanan kepada pemandu bas dan teksi di Dewan Terbuka Kampung Melayu Batu Caves semalam.

Sementara itu, seorang penerima, Ab Rahim Md Said, 69, berkata sumbangan makanan asas itu meringankan bebannya setelah pendapatan bulanan terjejas teruk akibat PKP.

“Jika dulu, saya boleh raih pendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan, tetapi sekarang hendak dapat RM1,000 sebulan pun susah.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana sudi beri bantuan makanan, dapat juga saya dan isteri bekalan makanan,” katanya.

Pemandu teksi, Subramaniam Gurunathan, 68 mengakui tidak dapat menyimpan wang sejak Mac tahun lalu akibat mengalami kekurangan pendapatan.

“Sudah 13 tahun saya bawa teksi, kali ini paling teruk. Dulu, jika dapat duit lebih saya boleh simpan sedikit dalam bank dan selebihnya guna untuk belanja makanan.

Ab Rahim Md Said, 69

“Tetapi kali ini tidak lagi, namun kami bernasib baik kerana ada kerajaan prihatin yang beri bantuan makanan untuk mengisi perut,” katanya.

Pemandu teksi berusia 65 tahun, Chan Yon Tap pula sudah dua kali menerima bantuan daripada Kerajaan Selangor sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara.

“Sebelum ini saya dapat baucar, kali ini dapat bantuan makanan pula, terima kasih kerana tidak melupakan kami,” katanya.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan pemandu bas dan teksi di negeri ini bakal menerima bantuan bakul makanan selama enam bulan menerusi Pakej Kita Selangor.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM4.35 juta bagi melaksanakan program Bakul Makanan kepada golongan terjejas dengan impak Covid-19.


Pengarang :