Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama barisan EXCO Kerajaan Negeri selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Shah Alam pada 25 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

700 individu di Selangor terima suntikan vaksin setakat 1 Mac

SHAH ALAM, 3 MAC: Seramai 700 individu di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin dos pertama setakat 1 Mac, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program imunisasi Covid-19 diyakini mampu mengekang penularan wabak, sekali gus menurunkan kes di Selangor.

“Kita harus melindungi diri daripada pandemik dan jangan bimbang kerana saya bersama EXCO terus bergerak aktif selepas menerima suntikan pada 25 Februari,” katanya tidak menyebut penerima secara terperinci.

Beliau turut mengulangi keyakinan vaksin itu selamat digunakan dan menjamin usaha pemulihan mampu dipercepat seawal September atau Oktober jika mendapat bekalan sendiri.

Sementara itu, Amirudin berkata seramai 68,677 individu menerima suntikan vaksin fasa pertama di Selangor melibatkan tiga kategori petugas hadapan.

Jelasnya, kategori pertama meliputi 37,151 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang berkhidmat di hospital, pusat kesihatan daerah atau klinik komuniti.

“Kategori kedua merangkumi 14,357 petugas hadapan di klinik dan hospital swasta manakala 17,169 lagi untuk petugas hadapan bukan kakitangan perubatan seperti polis dan bomba,” katanya.

Selangor menerima 78,000 dos vaksin Pfizer-BioNTech yang akan diagih secara berperingkat mengikut kumpulan sasaran atau berkepentingan.

 


Pengarang :