Selangorkini
EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.
EXCO SELANGOR

Ahli Skim Insurans Peduli Sihat antara diberi keutamaan terima vaksin Selangor

SUBANG JAYA, 2 MAC: Ahli Skim Insurans Peduli Sihat antara diberi keutamaan menerima suntikan vaksin Covid-19 apabila dos dibeli Kerajaan Selangor diperoleh kelak.

Justeru, EXCO kesihatan awam menyeru rakyat negeri ini khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) mendaftar skim inisiatif peduli rakyat itu bagi memudahkan proses penyediaan vaksin.

“Kalau tak daftar, kita tidak tahu jumlah vaksin untuk disiapkan. Sebab itu kita perlukan data lengkap kerana ia melibatkan aspek pengangkutan selain mengelak pembaziran.

“Memang mereka boleh pilih untuk menerima vaksin kerajaan pusat atau Kerajaan Negeri kerana apa yang paling penting kita mahu memastikan tiada siapa tercicir,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Penduduk sekitar Puchong hadir menjalani saringan Covid-19 percuma secara bersasar di Dewan MPSJ Puchong Indah, Puchong pada 28 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui SelangorKini selepas meninjau program Saringan Komuniti Covid-19 bersasar percuma di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Taman Puchong Indah di sini pada Ahad.

Wakil rakyat Seri Serdang berkata pihaknya juga akan mengumpul data penerima manfaat Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) untuk mendapat suntikan awal.

Menurutnya, pertimbangan turut diberikan kepada warga emas yang ditempatkan di pusat jagaan berikutan golongan itu berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19.

Selain itu, Dr Siti Mariah menambah pekerja di syarikat industri akan diberi keutamaan namun majikan perlu menanggung kos tersebut.

Pada 22 Februari, Dato’ Menteri Besar berkata vaksin yang dibeli bakal diperoleh pada Mei atau Jun hadapan.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan vaksin tersebut penting bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sekali gus menjamin kesihatan rakyat.


Pengarang :