AGENSISELANGOR

Ahli sukan ditawar ikuti Trek Akademik Atlet Unisel

SHAH ALAM, 23 MAC: Universiti Selangor (Unisel) menawarkan program Trek Akademik Atlet Unisel (UAAT) kepada ahli sukan melanjutkan pengajian tanpa perlu bimbang kekangan masa.

Menerusi program ini, ia memberi fleksibiliti kepada mereka dari segi tempoh pengajian, kaedah pembelajaran dan penilaian kursus.

Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan dan Industri Sukan Unisel berkata atlet berminat mengikutinya perlu memilih salah satu program ditawarkan di bawah Fakulti Perniagaan dan Perakaunan sahaja.

“Kita ada 11 program di bawah fakulti ini bagi diploma dan ijazah sarjana muda. Mereka perlu memilih salah satu untuk mendapat keistimewaan UAAT,” kata Zainal Azhar Zainal Azim ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata sejak diperkenal pada 2018 lebih 130 atlet bertaraf kebangsaan dan negeri sudah mengikuti progam berkenaan.

Sementara itu, Zainal Azhar memaklumkan lebih 50 ahli sukan mengikuti Karnival Pendidikan Atlet secara dalam talian dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Unisel semalam.

Karnival membabitkan lebih 20 institusi pengajian tinggi awam dan swasta bermula sejak 16 sehingga 30 Mac ini bertujuan menggalakan lebih ramai atlet mengikuti pengajian di peringkat tertinggi.

 


Pengarang :