Pengguna 70 kawasan di Hulu Langat yang bergantung bekalan dari LRA Semenyih 2 sudah menerima air bersih sepenuhnya pada pukul 9 malam 20 Disember 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Air Selangor kesan ribuan pangsapuri masih guna meter pukal

PETALING JAYA, 3 MAC: Kira-kira 2,000 pangsapuri di negeri ini masih belum menyertai program Migrasi Air Selangor untuk menukar meter pukal kepada individu.

Pembantu Naib Presiden II Seksyen Migrasi Air Selangor berkata program yang diwajibkan sejak 2014 membabitkan pangsapuri kos rendah, kondominium dan kuarters kerajaan.

“Pemilik yang gagal berbuat demikian boleh didenda sehingga RM10,000 mengikut Akta Kaedah-kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014,” kata R Krishnamoorthi.

Beliau yang ditemui selepas meninjau pemasangan meter individu di Pangsapuri Damansara Bistari di sini menambah hanya 1,000 kediaman bertingkat menyertai program migrasi sejak 2008.

Sementara itu, katanya, penukaran meter individu membolehkan pengguna menikmati tarif air lebih rendah mengikut penggunaan iaitu 57 sen bagi setiap meter padu.

“Caj tersebut untuk penggunaan dari kosong hingga 20 meter padu manakala RM1.03 bagi 20 hingga 35 meter padu dan selebihnya dicaj RM2,” jelas Krishnamoorthi.

Ketika ini, kadar tarif air untuk penggunaan meter pukal ialah RM1.38 (satu meter padu) bagi kondominium, pangsapuri kos rendah (80 sen) dan kuarters kerajaan (RM1).

 


Pengarang :