AGENDAEKONOMINASIONAL

AirAsia teroka khidmat hantar guna dron, tawar peluang kerja baharu

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Teleport, cabang logistik di bawah AirAsia Digital, meneroka penggunaan dron untuk menghantar barang daripada platform e-dagang airAsia, yang dijangka mewujudkan peluang pekerjaan baharu termasuk kepada mereka yang kehilangan pekerjaan dalam industri penerbangan.

AirAsia Group Bhd berkata Teleport bekerjasama dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Sekretariat Utama Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) untuk melancarkan Sandbox Penghantaran Melalui Dron di Kawasan Bandar.

“Projek perintis untuk perkhidmatan penghantaran pesanan dari platform e-dagang airasia termasuk airasia shop menggunakan dron automatik itu akan dilaksanakan melalui pendekatan bertahap selama enam bulan di tapak ujian Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) ketiga di Cyberjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkhidmatan itu ketika ini masih di peringkat ujian oleh dua pengendali dron tempatan VStream Revolution Sdn Bhd dan Meraque Services Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan perkhidmatan penghantaran melalui dron di kawasan bandar akan meningkatkan kecekapan dan kecemerlangan operasi serta menjadikan perkhidmatan penghantaran di kawasan bandar lebih pantas.

“Selain itu, penghantaran menerusi dron menjadikan kami lebih berdaya saing untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam sektor e-dagang dan lebih tangkas untuk menghadapi landskap ekonomi yang berubah-ubah.

“Apa yang paling penting, inovasi ini akan membolehkan kami mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan berteknologi tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Fernandes berkata sebagai peneraju inovasi, AirAsia bersedia untuk menghadapi cabaran inovatif baharu dan gelombang Revolusi Industri 4.0 bagi kelebihan mereka.

“Kami hanya melihat ke hadapan dan tidak sabar untuk menghantar pesanan anda melalui dron Airasia pada masa akan datang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :