Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur pada 16 Mac 2021. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar cadang permudah proses ambil vaksin, gesa rakyat daftar

SHAH ALAM, 16 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan pengambilan vaksin dipermudah berikutan prosesnya ketika ini terlalu rumit dengan borang dan semakan.

Ketua pembangkang dalam kenyataan di Facebook hari ini turut menggesa orang ramai untuk segera mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

“Saya harap rakyat sedar kepentingan vaksin dan tingkatkan pembacaan tentangnya. Penting untuk kita keluar dari zaman sakit ini seterusnya membina serta memulihkan ekonomi,” katanya.

Anwar yang juga wakil rakyat Port Dickson selesai menerima suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur pagi tadi sambil ditemani isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau turut berterima kasih kepada petugas perubatan diketuai Dr Murugesu Raju atas khidmat dan kerjasama baik sepanjang proses berlangsung.

Seramai 321,331 individu menerima suntikan di seluruh negara setakat semalam dengan Selangor kekal tertinggi membabitkan 38,632 orang.

Program imuniasi secara berfasa mulai 24 Februari mengutamakan petugas hadapan, disusuli kumpulan berisiko tinggi dan rakyat berusia 18 tahun ke atas.


Pengarang :