Ketua Polis Balai Tun H.S Lee, Inspektor Khairulmizam Ibrahim (dua, kiri) bersama Inspektor Syafiq Muhammad Sharif (tiga, kiri) memberi nasihat kepada orang awam yang berkumpul di hadapan pusat beli-belah Pavillion ketika melakukan rondaan menguat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 pada 19 Mac sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Denda RM10,000 tidak munasabah, wujud pilih kasih

SHAH ALAM, 13 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan denda RM10,000 kepada individu yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak munasabah.

Ketua pembangkang berkata kadar denda itu menonjolkan sikap tidak peka pentadbiran Perikatan Nasional (PN) terhadap kesusahan rakyat, terutama mereka yang mungkin tidak sengaja melanggar atau masih keliru.

“Ketua Polis Negara menyatakan setakat ini 330 individu telah dikenakan denda RM10,000 tersebut kerana didakwa melanggar SOP PKP.

“Ini secara tidak langsung menampakkan wujudnya hukuman pilih kasih di mana terdapat segelintir orang-orang besar, ahli politik serta pegawai kerajaan yang secara terang-terangan melanggar SOP PKP tanpa sebarang tindakan lanjut atau denda,” katanya di Facebook hari ini.

Ahli parlimen Port Dickson berkata kerajaan seharusnya peka beban ditanggung rakyat apabila ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

“Pernahkah kerajaan ini fikirkan apakah rakyat mampu untuk membayar denda sejumlah RM10,000 sekiranya RM1,000 itu pun mereka tidak mampu?

“Bagaimana mungkin kita benarkan rakyat Malaysia yang miskin yang sudah pun dibebankan dengan kepayahan yang dahsyat, dikurung di penjara kerana tidak mampu membayar denda?,” soalnya.

Kerajaan memutuskan jumlah denda kerana melanggar SOP PKP dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 mulai 11 Mac 2021.


Pengarang :