Seorang kakitangan perubatan menerima suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin, Serdang pada 4 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Anwar gesa kerajaan atasi segera isu daftar vaksin

SHAH ALAM, 15 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan supaya menyelesaikan segera isu yang boleh menjejaskan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19.

Menegaskan sokongan terhadap program itu, ketua pembangkang mempersoal isu kira-kira 1.4 juta rakyat tidak mengisi maklumat lengkap untuk menerima suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

“Kita baca laporan atau celoteh warga di ruang maya bahawa terdapat segelintir mereka yang terpaksa mendaftar berkali-kali sebelum proses pendaftaran disahkan di dalam sistem.

“Justeru, apa langkah kerajaan setakat sekarang dalam menyelesaikan masalah ini?” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Anwar turut mempersoal sama ada kerajaan sudah mengenal pasti kaedah untuk meningkatkan kesedaran oramg ramai terhadap kepentingan mengambil vaksin terutama golongan antivaksin.

“Apa yang telah dilakukan kerajaan dalam meyakinkan gerombolan antivaksin memandangkan ia tidak wajib? Sudahkah kerajaan fikirkan juga isu keselamatan vaksin, memandangkan terdapat juga kumpulan warga yang mempunyai kegusaran terhadap vaksin?” katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat juga meminta Putrajaya menjelaskan isu ketelusan dalam mendapatkan vaksin dan parameter yang diguna pakai bagi mendapatkan pelbagai jenis vaksin.

“Selain itu, terdapat beberapa laporan yang menyatakan tentang keberkesanan vaksin buatan Rusia iaitu Sputnik V yang jauh lebih murah. Namun, baru sekarang kerajaan mengumumkan telah mendapatkannya. Mengapa ia tidak diuruskan lebih awal?” katanya.

Hari ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kira-kira 1.4 juta individu tidak melengkapkan pendaftaran menerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, mereka hanya mengisi nama dan nombor kad pengenalan untuk pendaftaran penerimaan suntikan vaksin namun tidak menjawab soalan penilaian kesihatan serta melengkapkan alamat terkini masing-masing.


Pengarang :