Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur pada 16 Mac 2021. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar: Guna dos kedua petugas hadapan untuk vaksin rakyat

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan disaran menggunakan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech petugas barisan hadapan untuk disuntik kepada orang awam terlebih dahulu.

Ketua pembangkang berkata langkah itu akan memberi faedah lebih baik kepada negara dalam mencegah pandemik Covid-19 berikutan ramai rakyat menerima vaksin.

“Pfizer fasa pertama ini habiskan dulu untuk rakyat. Untuk fasa kedua nanti baharu giliran mereka (petugas hadapan) semula.

“Jika tidak laksanakan langkah ini, belum tentu pada 2022 penduduk di pedalaman menerima suntikan. Kerajaan dicadang teliti perkara ini supaya rakyat dapat suntikan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media hari ini.

Menurutnya berdasarkan beberapa kajian dilakukan, tindakan penangguhan dos kedua itu tidak akan menggugat kesihatan dan keselamatan petugas barisan hadapan.

Fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menyasarkan suntikan terhadap kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hingga April depan.

Fasa dua imunisasi menggunakan Pfizer-BioNTech dan Sinovac, dijadualkan bermula April hingga Ogos depan melibatkan kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa ketiga pada Mei hingga Februari tahun depan untuk 13.7 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing.


Pengarang :