Selangorkini
Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada program perbincangan Akademi Zakat pada Seminar Antarabangsa Zakat, Wakaf dan Filantropi Islam ketiga di Shah Alam pada 30 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Anwar pertikai pegawai atasan bank dapat bonus lumayan, rakyat sengsara

SHAH ALAM, 26 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim curiga tindakan bank dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang memberi bonus dan elaun lumayan kepada pegawai atasan.

Ketua pembangkang berkata tindakan segelintir pihak mencipta keuntungan disifat merungsingkan ketika sebahagian besar rakyat terus bergelut susulan dampak Covid-19.

Beliau turut mempertikai keuntungan bank tahun lalu untuk menampung kenaikan gaji dan dividen pemegang saham tetapi tidak berupaya memberi moratorium kepada golongan susah.

“Kita tidak menentang soal mencipta keuntungan, namun kita mencurigai cara segelintir pihak mencipta keuntungan sambil mengorbankan golongan rakyat yang lemah dan susah.

“Paling menyedihkan pemerintah menggesa masyarakat berpadu menampan dampak wabak, tetapi golongan korporat dan para eksekutif seolah dikecualikan dari tanggungjawab ini,” katanya dalam kenyataan.

Tegas Anwar, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedar sebilangan rakyat terpaksa menampung beban lebih besar sementara golongan kaya menjalani kehidupan seperti biasa.

Beliau berkata rakyat turut dimomokkan kononnya sektor perbankan akan punah dan pendekatan moratorium berpotensi meruntuhkan sistem kewangan negara.

“Kini kita dikejutkan pula dengan laporan bahawa sektor bank dan GLIC sedang mempergiatkan usaha untuk mencipta keuntungan dan menaikkan gaji pegawai kanan sehingga 58 peratus.

“Jika keuntungan sektor bank pada 2020 mampu mendukung kenaikan pegawai tinggi mereka sebanyak 10 peratus, apakah pegawai rendah turut menikmati kenaikan gaji yang munasabah?” soal Anwar.


Pengarang :