Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Tidak masuk akal Parlimen tidak boleh bersidang

GOMBAK, 27 MAC: Tidak masuk akal untuk menangguh sidang Parlimen atas alasan darurat ketika pelbagai sektor dibenar beroprasi di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan pembukaan semula sektor pendidikan, ekonomi dan sukan, ketua pembangkang mempersoal mengapa tindakan sebaliknya dibuat terhadap instutisi demokrasi itu.

“Sekarang di bawah mereka (PN), bukan sahaja rasuah yang lebih parah sedang diteruskan tetapi berselindung di sebalik darurat untuk tidak benarkan sidang (Parlimen),” katanya dalam program Bicara Amanat Presiden KEADILAN Kekal Relevan di Batu Caves di sini petang tadi.

Mengenai penangguhan Undi 18, Anwar berkata pindaan bagi menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dipersetujui semua ahli parlimen sebelum ini tanpa mengira parti politik.

Justeru, beliau turut menyifatkan penangguhan itu disebabkan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin “takut” untuk meneruskan pelaksanaan tersebut.

“Semua ahli Parlimen KEADILAN, DAP, Amanah, Umno, MCA termasuk mereka yang khianat lompat parti bersetuju, tetapi sekarang takut dengan anak muda.

“Malah, ada ‘tuan syeikh’ yang menganggap umur 18 kurang matang (mengundi)…tetapi umur 90 pun ada yang tidak matang. Soal matang ini kita jangan ukur daripada segi umur tetapi lihat kebolehan seseorang itu,” katanya lagi.


Pengarang :