Rodziah Ismail menunjukkan aplikasi N41 sebagai medium membantu penduduk ketika program Kembali ke Sekolah anjuran DUN Batu Tiga di Dewan Pusat Wanita Berdaya DUN Batu Tiga, Shah Alam pada 23 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Aplikasi N41 selesai masalah rakyat, mudah mohon bantuan negeri

KLANG, 27 MAC: Aplikasi N41 Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga berjaya menyelesaikan pelbagai masalah rakyat dan memudahkan permohonan bantuan.

Wakil rakyatnya, Rodziah Ismail berkata impak N41 yang diwujudkan awal Februari lalu dapat dilihat selepas pusat khidmatnya tidak lagi berurusan menggunakan borang permohonan.

Menurut beliau, sistem itu membantu mengenal pasti aduan yang tidak diselesai dapat dipercepatkan selain mengelak individu yang sama mendapat bantuan.

“Jika ada pihak yang mahukan data contohnya Dato’ Menteri Besar tanya berapa banyak peruntukkan yang diberi, kita boleh lampirkan dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya.

Rodziah berkata demikian selepas merasmikan program Ambil & Bayar (Pick & Pay) Laman Hijau Strata Negeri Selangor di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera di sini, hari ini.

DUN Batu Tiga menjadi pusat khidmat pertama negeri ini melancarkan aplikasi sebagai pemudah cara untuk urusan penduduk setempat.

Aplikasi N41 membolehkan penduduk melaporkan masalah, memohon bantuan atau mendaftar skim Kerajaan Selangor.


Pengarang :