Selangorkini
Foto Instagram Azizulhasni Awang
AGENDA SUKANKINI

Azizulhasni, Muhammad Shah raih penamat podium di Australia

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Pelumba berbasikal trek elit negara Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom terus membuktikan kehebatan apabila meraih penamat podium di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia semalam.

Mohd Azizulhasni atau dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman meraih pingat perak manakala rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus menang gangsa dalam acara pecut lelaki di Velodrom Anna Meares, Brisbane.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 33 tahun itu tewas kepada pelumba Australia Matthew Richardson 2-0 di pentas final, menurut https://results.auscycling.org.au.

“Saya memberikan saingan hebat di final untuk meraih pingat emas, namun Richardson lebih baik. Ia adalah pencapaian yang baik dalam persediaan saya ke Olimpik Tokyo. Saya akan berlumba dalam acara keirin esok,” kata Mohd Azizulhasni di laman Facebooknya.

Terdahulu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara keirin mengenepikan seorang lagi pelumba Australia Leigh Hoffman dan Thomas Cornish masing-masing di peringkat suku dan separuh akhir.

Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus mengenepikan seorang lagi pelumba tempatan Nathan Hart di suku akhir sebelum tewas kepada Richardson dalam aksi separuh akhir.

Dalam edisi terdahulu yang berlangsung pada Disember, Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan kelima dalam acara pecut namun mengungguli acara keirin selepas Mohd Azizulhasni muncul juara manakala rakannya itu meraih gangsa.

Kedua-dua pelumba negara itu meneruskan momentum apabila meraih penamat satu-dua dalam acara pecut Kejohanan Trek Elit Victoria manakala di Kejohanan Victorian State Keirin 2021, Muhammad Shah Firdaus pula menjuarai satu lagi penamat podium bulan lepas.

-BERNAMA


Pengarang :