AGENDANASIONAL

Bank di Malaysia kekal berdaya tahan depani krisis Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 MAC: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) yakin bahawa bank-bank di Malaysia akan kekal berdaya tahan walaupun ekonomi terjejas akibat pandemik Covid-19.

RAM Ratings dalam satu kenyataan berkata ia mengekalkan unjuran stabil terhadap sektor perbankan tempatan yang disokong oleh asas yang kuat.

“Kami menjangka pengembangan pembiayaan akan mencapai sekitar tiga peratus pada tahun 2021 dengan pembiayaan isi rumah terus meningkat manakala pembiayaan perniagaan akan kekal pada kadar perlahan.

“Pembiayaan kenderaan dan rumah yang mencatatkan pertumbuhan kukuh tahun lepas akan terus mendapat manfaat daripada pelbagai insentif untuk pembelian kereta dan hartanah,” kata Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangan RAM Ratings, Wong Yin Ching.

Bagaimanapun, Wong berkata jangkaan itu tertakluk kepada risiko penurunan seperti kelewatan yang tidak dijangka dalam program vaksinasi atau gelombang baharu penularan Covid-19, yang mungkin memerlukan langkah pencegahan yang lebih ketat.

Menurut RAM Ratings, nisbah nilai kasar pinjaman yang terpaksa dilaraskan bank (GIL) sistem perbankan kekal stabil pada 1.60 peratus pada akhir Januari 2021, lebih tinggi daripada 1.51 peratus pada akhir Disember 2019.

Ia berkata nisbah itu berkemungkinan meliputi Bantuan Pembayaran Balik Bersasar (TRA) yang telah disediakan untuk peminjam perusahaan individu dan kecil dan sederhana berikutan penamatan moratorium pinjaman selama enam bulan yang bermula pada September 2020.

Selain itu, bank-bank kekal komited untuk membantu peminjam korporat menyusun dan menjadualkan semula pembayaran (R&R) pinjaman mereka.

Ia berkata data terbaru menunjukkan sekitar 13 peratus, antara tujuh peratus hingga 18 peratus untuk bank individu daripada lapan portfolio domestik bank tempatan terpilih berada di bawah TRA dan R&R.

“Berdasarkan jangkaan kami, nisbah GIL industri mungkin meningkat sekitar 2.3-2.5 peratus pada tahun 2021.

“Kami menjangka GIL akan mencapai paras kemuncaknya pada tahun 2022 selepas semua langkah bantuan sementara berakhir,” Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangannya, Sophia Lee.

Beliau berkata bank-bank secara pre-emptif membina penampan peruntukan mereka pada tahun 2020 bagi mendepani tempoh yang mencabar apabila kualiti aset asas mereka menjadi ketara pada separuh kedua 2021 atau 2022.

Agensi penarafan itu berkata pendapatan bank-bank di Malaysia pada tahun 2020 terjejas oleh peruntukan pre-emptif yang tinggi sebelum ini, kerugian pengubahsuaian dan penyusutan margin faedah bersih (NIM).

Ia berkata NIM terjejas teruk oleh Bank Negara Malaysia sebanyak 125 mata asas (bps) ditambah dengan caj pengubahsuaian.

“Pendapatan bank dijangka akan meningkat pada tahun 2021 dengan ketiadaan perbelanjaan pengubahsuaian dan NIM yang meningkat semula kerana deposit kebanyakannya akan dikenakan pada kadar yang lebih rendah,” katanya.

Ia berkata keuntungan keseluruhan cenderung terus mengalami tekanan oleh caj kemerosotan tinggi tetapi kedudukan kecairan sistem perbankan akan kekal stabil.

– BERNAMA


Pengarang :