Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar permasalahan wakil jawatankuasa perumahan Ladang Dusun Durian sempena Jelajah Kita Selangor di Kampung Tongkah Morib, Kuala Langat pada 21 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bantu selesai projek rumah terbengkalai bekas pekerja ladang

KUALA LANGAT, 21 MAC: Kerajaan Selangor akan menyelesaikan isu projek perumahan bekas pekerja Ladang Dusun Durian di Banting yang terbengkalai sejak 2006.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah segera meliputi perjumpaan bersama pemaju dan pemilik tanah bagi mencapai persetujuan.

“Jika rundingan gagal, Kerajaan Negeri akan selesaikan hak milik dan ambil alih tanah untuk bina semula rumah pekerja ladang,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama jawatankuasa projek perumahan berkenaan di Kuil Sri Thurobathi Amman di sini.

Beliau yakin masalah itu boleh diatasi berikutan Kerajaan Negeri berpengalaman dalam menyelesaikan beberapa siri projek terbengkalai sebelum ini.

Projek perumahan seluas 10 ekar itu dibina di atas tanah mililk Golden Hope Plantations (Peninsular) Sdn Bhd (Golden Hope) manakala Permai Sdn Bhd selaku pemaju.

Sebanyak 104 projek terbengkalai membabitkan 35,776 unit rumah, komersial dan industri berjaya diselesaikan di Selangor sejak 2008 hingga Oktober tahun lalu.


Pengarang :