Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej untuk menuntut hadiah berupa wang tunai yang kembali tular dalam laman sosial. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Banyak ‘jiwa kacau’ di sosial media, perlu dikawal sebelum parah

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Jika diamati komen warga maya berhubung tulisan atau gambar yang dipaparkan di media sosial, boleh dilihat semakin menjadi-jadi penyakit tidak senang hati atau iri hati atau lebih tepat penyakit ‘jiwa kacau’ di laman berkenaan.

Perhatikan apabila sesuatu gambar dikongsi, pasti akan ada komen yang secara tidak sedar menonjolkan sifat dan identiti si penulis atau pengguna media sosial itu sendiri.

Pelbagai reaksi dapat dilihat sama ada yang memberikan sokongan dan tidak kurang hebatnya juga yang memberi kecaman.

Sebagai contoh, seorang wanita yang tinggal jauh di bumi Chicago, Amerika Syarikat memuatkan gambar dalam ruangan kumpulan masakan yang amat popular di negara ini yang mempunyai 1.5 juta ahli, gambar menu masakan tradisi Malaysia iaitu nasi lemak dengan berlatar belakangkan salji turun dari jendela rumahnya.

Yang menyokong ramai, begitu juga yang kurang senang dengan gambar berlatarbelakangkan suasana di negara cuaca sejuk itu sehingga siap meminta jangan lagi berkongsi gambar dalam kumpulan tersebut.

Komen ejekan atau berunsur negatif untuk perkongsian yang lain turut mengundang tekanan emosi dan boleh menjadi lebih parah sehingga berlaku kejadian bunuh diri, sekiranya perkara ini gagal dibendung.

Lebih banyak perkara negatif

Mengulas ‘penyakit jiwa kacau’ di media sosial ini, Pensyarah Kanan (Bimbingan & Kaunseling) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Syed Mohamad Syed Abdullah berkata sememangnya penyakit tersebut semakin menular dalam masyarakat kini.

“Sebenarnya ia boleh berlaku disebabkan kepelbagaian persepsi dan juga perbezaan pendapat dalam komuniti dan masyarakat. Sepertimana yang kita tahu individu memiliki personaliti yang berbeza dan ia merangkumi sikap, nilai persepsi dan motivasi yang berbeza antara satu sama lain.

Masyarakat diminta menyemak dahulu kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsi dalam media sosial bagi mengelak penyebaran berita palsu dan maklumat tidak tepat. Foto BERNAMA

“Cara setiap individu menerima atau menghayati sesuatu peristiwa, sesuatu bahan tersebut adalah sebenarnya berbeza. Kalau kita tengok media sosial ini ia adalah trend semasa yang kita tidak dapat elakkan, jadi dengan perubahan peningkatan kecekapan teknologi komunikasi terkini menjadikan media sosial ini satu platform yang popular yang sedang digunakan sekarang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, perubahan yang lebih terkini dengan ledakan teknologi menyaksikan inovasi diperkenalkan serta platform media sosial itu dilihat semakin mudah menambat dan menawan hati pengguna.

“Jadi dengan kemudahan tersebut sepatutnya sebaran maklumat, kemudahan capaian maklumat yang lebih pantas, lebih terangkum, lebih luas dan macam-macam lagi. Hal ini menjadikan kehidupan manusia pada asasnya semakin mudah, boleh membantu dari mana sahaja dalam keadaan yang cepat dengan skala yang lebih efisien .

“Cuma yang menjadi isu adalah apabila terdapat segelintir pengguna media sosial yang mungkin berlawan arus dan menyalahgunakan media sosial. Perkara yang berlaku ini adalah dari sebab kepelbagaian persepsi, perbezaan pendapat dalam masyarakat . Media sosial ini sepatutnya platform yang digunakan dengan cara yang wajar tetapi terdapat segelintir pengguna yang menyalahgunakan platform ini,” tambahnya.

Gangguan psikologi

Menurut Syed Mohamad, sememangnya wujud gangguan psikologi serta kes yang memberi kesan mental serta emosi kepada individu akibat daripada kesan penulisan atau ciapan yang dibuat daripada pengguna laman sosial.

Beliau berkata, sekiranya individu yang menjadi sasaran gangguan atau buli di media sosial tidak tahu bagaimana hendak menangani keadaan itu, nescaya ia akan memberi impak yang kuat kepada emosi serta mental individu berkenaan.

“Meskipun kes tersebut bersifat terpencil dan masih tidak berlaku dengan meluas di negara ini namun perkara tersebut tidak boleh dipandang enteng kerana bermula daripada kes yang sedikit itu yang sebenarnya akan mengganggu-gugat ketenteraman, keharmonian, kesejahteraan, psikologi dan juga kestabilan minda masyarakat Malaysia.

“Maka kes-kes kecil seperti ini perlu ditangani dengan segera dan memang benarlah apabila ada kes bunuh diri disebabkan media sosial ini, kita nampak bahawa betapa kuatnya kesan dan pengaruh yang diterima dan hal ini patut diberi perhatian yang serius oleh semua pihak,” katanya.

Lebih kebal, terbuka dalam literasi media

Dengan kebanjiran komen dan luahan dalam platform sosial yang dilihat lebih banyak kepada menghentam berbanding kata-kata positif, apakah masyarakat di Malaysia perlu lebih kebal , bersikap tahan maki dan lebih terbuka dalam penggunaan literasi media serta bukan lagi seperti dahulu yang lebih sopan santun?

Dalam hal ini, Syed Mohamad berpandangan bahawa pembudayaan literasi media perlu dilakukan dalam acuan pendidikan dan budaya Malaysia sendiri.

Beliau menjelaskan, masyarakat negara ini tidak perlu kebal dan juga sangat terbuka kepada semua perkara walaupun daya tahan, kekebalan, keterbukaan minda itu adalah sangat bagus dan sangat dituntut.

“Sebagai masyarakat yang matang, generasi yang boleh menerima cabaran dan sebagainya, namun kita harus lihat sejauhmana keterbatasannya. Bagi saya memadai kita ikut apa yang sedia ada dalam konteks pendidikan dan budaya Malaysia. Kita disarankan bersifat terbuka, lebih tahan dan mengekalkan sopan santun dalam amalan literasi media.

“Saya tidak setuju sekiranya kita dikatakan perlu untuk bersikap kalis maki dan sebagainya sebab ini akan menjadikan masyarakat kita semakin parah dan semakin terbuka tanpa ada kawalan yang sepatutnya. Kita boleh berubah mengikut peredaran masa, perkembangan teknologi serta mengikut tuntutan semasa tetapi kita wajib mengekalkan keharmonian hubungan, agama, masyarakat, mengekalkan entiti budaya Malaysia yang sedia ada,” katanya.

Menurut beliau, nilai yang sedia ada dalam acuan masyarakat Malaysia serta identiti murni yang sering dipupuk tidak perlu digadaikan.

Masyarakat di negara ini, katanya, harus konsisten dengan apa yang ada dan dalam masa yang sama menyesuaikan perkembangan supaya tidak ketinggalan daripada mana-mana negara dan mana-mana masyarakat yang ada.

Ini kerana Malaysia harus bergerak ke hadapan selari dengan perkembangan semasa tanpa perlu mengorbankan nilai-nilai murni adat, budaya, identiti sebagai warga Malaysia.

Kempen jadi pengguna media sosial bijak

Justeru Syed Mohamad berkata, cara setiap individu mengendalikan media sosial juga perlu diperbaiki apabila melihat gejala salah guna media sosial kini semakin berleluasa dan menular dalam masyarakat.

Beliau lalu membuat saranan agar dibuat satu kempen untuk mendidik masyarakat Malaysia menjadi pengguna media sosial yang bijak.

Dua pegawai polis, ASP Norazura Din (kiri) dan ASP Haryanti Che Mat (kanan) menunjukkan aplikasi MULE iaitu apikasi yang boleh mengesan akaun palsu dalam jenayah siber ketika majlis Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersil juga Pelancaran Portal dan Aplikasi Semak MULE yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani di Maktab Polis Diraja Malaysia pada 7 Oktober 2020. Foto: BERNAMA

“Sebenarnya kita tidak perlu terikut dengan gaya atau kaedah negara lain yang mungkin lebih terbuka dalam cara menjadi seorang pengguna media sosial. Keterbukaan komunikasi pendapat, pandangan itu sebenarnya amat diraikan tetapi dalam keadaan yang terkawal.

“Jika kita lihat sebenarnya di Malaysia ini kita tidak dapat lari dari perlu ada jati diri dan juga perlambangan kita sebagai masyarakat Malaysia termasuk golongan remaja dan kanak-kanak untuk menggunakan media sosial secara berhemah, ” katanya.

Beliau berkata, hukuman dan tindakan yang bersesuaian boleh diambil, umpamanya apabila ada pengguna media sosial yang menghina agama atau membuat provokasi dan ianya perlu dihebahkan.

Jalan penyelesaian penyakit ‘jiwa kacau’

Mengulas dari sudut psikologi, Syed Mohamad berkata, apabila melihat kumpulan yang tergolong dalam kelompok “jiwa kacau” ini adakalanya timbul rasa kasihan dan simpati kerana mereka itu sebenarnya mempunyai jiwa yang tidak sihat.

Beliau berkata, pengguna media sosial perlu sedar tentang kuasa yang mereka ada apabila berinteraksi di media sosial, sebagai contoh hak melaporkan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) jika didapati ada kes yang sangat-sangat mengganggu.

“Namun saya perhatikan ada juga pengguna media sosial yang bertanggungjawab mengambil inisiatif mereka sendiri contohnya, menasihati, membetulkan fakta, memberi peringatan bersama, menjadi orang tengah dan pelbagai lagi yang dibuat untuk menghalang kumpulan-kumpulan jiwa kacau ini daripada terus merebak dan menular, Saya ucapkan tahniah kepada pengguna media sosial yang bertanggungjawab ini,” katanya.

Berkenaan hak dan peranan pengguna laman sosial, beliau berkata pengguna boleh memilih untuk tidak menghiraukan atau memulau mereka yang menyalahgunakan media sosial.

“Jangan ambil peduli, buat tidak tahu. Dari sudut psikologinya, mereka yang membuat jiwa kacau ini, kadang-kadang mereka perlukan perhatian dan mencari populariti apabila mereka paparkan sesuatu perkara yang menyakitkan dan menjadi panas.

“Mereka rasa seronok apabila orang ramai dan pengguna media sosial yang lain tiba-tiba kelam kabut untuk memberi respons dan maklum balas. Ini sesuatu yang tidak sihat,” jelasnya.

Sengaja buat kacau

Sementara itu mengulas isu yang sama, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata apabila seseorang individu membuat perkara tidak baik, ia sememangnya mempunyai kaitan dengan sakit jiwa atau masalah hati.

“Jika semak profil mereka yang membuat perangai sebegitu, seakan akaun mereka diwujudkan untuk membuat kacau dan seolah-olah tindakan tersebut membuatkan mereka lega sebab boleh menjatuhkan orang lain.

“Mereka ini sebenarnya mempunyai masalah dengan diri sendiri, tidak suka dengan pencapaian diri sendiri, rasa tidak senang dengan apa yang dimiliki, rasa tidak yakin dengan kelebihan sendiri. Maka mereka bertindak menjatuhkan orang lain dan saat orang yang dikutuk atau dihina itu dipersenda serta merasa kecewa dan terhina, itulah kemenangan dan kepuasan bagi mereka, “ujarnya.

Menurut beliau, perkara yang sering berlaku itu bukan satu masalah media sosial sebaliknya ia berpunca daripada masalah individu yang sakit jiwa.

Beliau berkata, jalan penyelesaian kepada isu tersebut adalah untuk netizen yang lebih positif membantu mereka yang jiwa kacau, dan bukan menghentam.

“Sekiranya dihentam keadaan akan mejadi lebih parah. Selain itu, pengguna media sosial juga perlu ubah sikap dengan hanya berkongsi perkara yang perlu dan bermanfaat untuk orang lain sahaja. Momen-momen indah untuk kenangan, cukuplah dikongsikan dengan yang terdekat dan dengan yang anda kenal sahaja.

“Jikalau hendak dikongsikan untuk tatapan semua, jiwa anda mesti kebal untuk terima pelbagai komen negatif. Kalau tidak, JANGAN KONGSI sebab anda akan hanya membantu menambah statistik lebih ramai orang tidak betul di luar sana,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :