Pengguna Bas Smart Selangor mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sebelum menaiki pengangkutan awam itu di hentian bas Seksyen 13, Shah Alam pada 5 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Bas penggerak ekonomi, manfaat jutaan pengguna

Perkhidmatan Bas Smart Selangor banyak membantu golongan berpendapatan rendah termasuk pekerja asing. Selain bersifat kebajikan, ia juga memainkan peranan dalam menggerakkan sektor ekonomi negeri.

Sejak diperkenal pada 2015, pelbagai reaksi orang ramai terhadap perkhidmatan tersebut. Wartawan Mustakim Ramli menemu bual EXCO Pengangkutan Ng Sze Han untuk penjelasan terperinci.

Berapa ramaikah pengguna dan berapa laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor?

Tiada statistik tepat. Bilangan warga asing secara anggaran adalah 10 peratus. Keseluruhan pengguna bas ini sejak 2015 adalah 53 juta. Bukan semua laluan ada warga asing. Cuma di kawasan industri, bilangan mereka ramai sedikit.

Sekarang kita ada 43 laluan dengan 136 bas. Ini rekod Malaysia iaitu bilangan yang tinggi untuk pengangkutan percuma. Tiada yang lain dapat lawan dengan Selangor.

Berapakah jumlah perbelanjaan perkhidmatan setiap tahun?

Kita memasuki tahun keenam perkhidmatan ini kepada penduduk Selangor. Selepas enam tahun, inilah masa untuk kita kaji hala tujunya. Banyak pandangan dan ulasan diberi penduduk dan pengguna bas.

Antara yang sering ditanya kenapa perkhidmatan percuma yang begitu baik tidak beri keutamaan kepada penduduk Selangor yang membayar cukai kepada Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Untuk makluman, kos operasi tahunan bas hampir RM50 juta. Bagi 2021, Kerajaan Negeri memperuntuk RM25 juta dan bakinya ditanggung semua PBT. Kos operasi beban yang agak besar kepada Kerajaan Negeri, juga PBT. Oleh itu, kita perlu pastikan perbelanjaan ini digunakan dengan sempurna.

Apakah asas pertimbangan perkenal bayaran kepada warga asing?

Caj kepada warga asing 90 sen sahaja. Kenapa kita perlu kenakan kadar minimum kepada warga asing? Kerana pandangan daripada rakyat diambil kira dan Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada penduduk negeri ini.

Penumpang Bas Smart Selangor mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) penjarakan fizikal ketika menaiki perkhidmatan itu di Hentian Bas Seksyen 13, Shah Alam pada 5 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sebenarnya, bukan semua laluan ada bilangan warga asing yang tinggi, hanya beberapa sahaja. Rakyat tempatan juga kurang selesa apabila bas penuh dengan warga asing.

Ada yang mengatakan 90 sen terlampau tinggi. Saya ingin beri contoh bas percuma di Putrajaya kepada rakyat Malaysia tetapi warga asing dikenakan RM1.50. Bukan Selangor sahaja yang kenakan caj kepada penumpang warga asing, Putrajaya pun kenakan caj yang jauh lebih tinggi.

Adakah ia beban berat? Kalau kita kira, 90 sen satu trip (perjalanan), pergi balik RM1.80. Seminggu kerja enam hari. Satu bulan darab empat minggu. Maknanya, sebulan lebih kurang RM43 sahaja.

Ada menganggap caj itu suatu bentuk diskriminasi. Penjelasan?

Sudah tentu bukan diskriminasi kerana warga asing boleh menggunakan perkhidmatan bas ini, mereka hanya perlu bayar 90 sen.

Di luar negara, warga asing perlu membayar untuk menaiki pengangkutan awam. Jadi, isu diskrimanasi tidak wujud. Kita bukan macam negeri lain yang langsung tidak benarkan warga asing naik bas percuma mereka. Mereka menggunakan sistem pendaftaran kad untuk naik bas tersebut dan hanya yang ada MyKad sahaja dibenarkan mendaftar.

Di Selangor, kami tidak menghalang warga asing tetapi hanya kadar minimum iaitu 90 sen. Contoh lain, anak warga asing ke sekolah kerajaan atau hospital, mereka perlu bayar sedikit yuran. Jadi, ini bukan diskriminasi.

Ada pula pengguna media sosial berasa caj terlalu rendah. Pandangan?

Selepas umumkan caj 90 sen, ada tanya kenapa sedikit sangat? Ada pula kritik tidak boleh patut caj. Akan tetapi ada golongan yang lagi besar bertanya kenapa rendah sangat? Kami ingin maklumkan Kerajaan Negeri tertakluk kepada Pekeliling Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan iaitu kadar maksimum 94 sen. Untuk senang kira, kita jadikan 90 sen. Ia bukan kadar yang sewewangnya diputuskan Kerajaan Negeri.

Bas ini bukan untuk warga asing sahaja tetapi golongan pekerja asing profesional dan pelancong asing. Kita boleh nampak kualiti perkhidmatan sangat baik. Kita bekal bas baharu, bersih, WiFi percuma dan tiba tepat masa.

Bagaimana Bas Smart Selangor membantu merancakkan ekonomi negeri?

Inisiatif ini kita lancarkan untuk tukar tanggapan orang ramai terhadap pengangkutan awam. Adakah pengangkutan awam suatu ketinggalan zaman? Umpamanya pekerja kilang sahaja menggunakan bas. Sebenarnya, ia tanggapan salah. Kalau kita ke Subang, Shah Alam, Petaling Jaya, ramai pekerja pejabat atau golongan berpendapatan pertengahan menggunakan perkhidmatan ini. Bangga menggunakan pengangkutan awam.

Mereka yang menggunakan bas ini secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi. Mereka menggunakan pengangkutan awam yang lebih efektif untuk ke tempat kerja tanpa menggunakan kenderaan sendiri.

Apakah tujuan Scan to Ride diperkenal?

Scan to Ride untuk kita kenakan caj kepada warga asing dan pada masa sama, Kerajaan Negeri memerlukan data penumpang. Kita perlu tahu perhentian bas atau laluan yang mana ada bilangan penumpang yang tinggi. Penumpang naik di perhentian yang mana satu dan turun di mana satu?

Ng Sze Han mengimbas kod QR ‘Scan To Ride’ di pintu masuk Bas Smart Selangor ketika melancarkan sistem itu pada 1 Mac 2021. Foto Facebook Ng Sze Han

Maklumat itu penting apabila kita mahu sediakan sesebuah laluan, adakah ia penting atau sebaliknya. Ketika ini, tiada maklumat tepat. Peruntukan kita terhad dan kita perlu bina perhentian bas. Keutamaan perlu diberi kepada lokasi yang mana satu? Maklumat kita hanya melalui pemandu bas.

Dengan sistem ini, kita dapat statistik tepat. Perhentian mana perlu kita bina dulu, besar mana kerana saiznya berbeza. Adakah tempat itu ada pengguna orang kelainan upaya dan sebagainya. Maklumat ini meningkatkan lagi mutu pengangkutan awam.

Antara 1 hingga 31 Januari di Shah Alam, seramai 30,107 sudah menggunakan aplikasi ini. Warga tempatan sahaja 25 peratus, 75 peratus lagi warga asing yang menggunakan aplikasi ini untuk menaiki bas. Warga asing tidak merungut, mereka tambah nilai menggunakan JomPay atau kedai seperti KK Mart dan Speedmart. Pada Februari di Shah Alam setakat 17 Februari, seramai 16,674 menggunakannya iiatu 47 peratus warga asing, 53 peratus rakyat tempatan

Apakah perkembangan pelaksanaan bas mini Smart Selangor?

Bas Smart Selangor mini masih dalam kajian. Kami perlu tahu dari segi bilangan penumpang, adakah saiz bas mini dapat menampung bilangan penumpang dan di kampung, kami ada terima pemohononan untuk masuk tetapi jalan kampung lebih sempit. Dengan saiz bas, tidak dapat berpusing. Ini semua dalam kajian. Selain itu, SOP Covid-19 juga diambil kira. Ini cabaran baru.


Pengarang :