Pengguna 70 kawasan di Hulu Langat yang bergantung bekalan dari LRA Semenyih 2 sudah menerima air bersih sepenuhnya pada pukul 9 malam 20 Disember 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bekalan air di Petaling pulih sepenuhnya, Klang 21 peratus

SHAH ALAM, 31 MAC: Sekurang-kurangnya 73 peratus akaun pengguna yang terlibat dengan gangguan air berjadual menerima semula bekalan petang tadi.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan berkata wilayah Petaling pulih sepenuhnya, Klang dapat bekalan sebanyak 21 peratus manakala sifar di Shah Alam.

“Sehingga jam 6 petang, bekalan air stabil di lapan dari 31 kawasan (26 peratus) yang terlibat dengan gangguan air,” kata syarikat itu.

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri memaklumkan tempoh gangguan dan pemulihan bekalan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

Air Selangor menasihatkan pengguna yang sudah mendapat bekalan menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar.

Gangguan air berjadual di Petaling, Klang dan Shah Alam berikutan kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu di Persiaran Selangor Seksyen 15 di sini mulai semalam.

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi, 1 April. Proses ini juga sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Senarai kawasan terjejas boleh didapati melalui semua media sosial Air Selangor termasuk Facebook, laman sesawang www.airselangor.com atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.


Pengarang :