Tinjauan di Sungai Semenyih, Dengkil yang dicemari bau bangkai menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi pada 5 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belanja jutaan ringgit bersih sungai tercemar, JAS sokong denda RM10 juta

SHAH ALAM, 30 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menyokong penuh hasrat kerajaan menaikkan jumlah denda terhadap pesalah alam sekitar dan sumber air daripada RM100,000 kepada RM10 juta.

Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata jumlah itu dianggap munasabah seiring dengan kos pembersihan pencemaran yang terpaksa dibelanjakan Kerajaan Negeri.

“Pada 2016, Kerajaan Selangor terpaksa membelanjakan RM8 juta bagi membersihkan Sungai Semenyih yang tercemar ketika itu, sementara Kerajaan Johor pula membelanjakan kira-kira RM6 juta untuk bersihkan Sungai Kim Kim.

“Berdasarkan beberapa senario ini, wajar angka bagi penalti maksimum itu dinaikkan kepada RM10 juta disamping hukuman penjara mandatori bagi memberi pengajaran kepada pesalah pencemar air.

“Kesan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab ini menyebabkan kesukaran kepada jutaan akaun pengguna dan menjadi antara isu yang sering meresahkan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Air Selangor sempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri menerusi siaran langsung di Facebook Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar (bawah, kanan) dan Pengarah LUAS, Hasrolnizam Shaari (kiri) ketika Forum Air Selangor sempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri menerusi siaran langsung di Facebook LUAS pada 30 Mac 2021. FotoNADIAH ZAMLUS

Sebelum ini, Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) bercadang untuk meningkatkan jumlah hukuman denda sehingga RM10 juta berbanding RM100,000 ketika ini kepada pihak yang disabitkan dengan kesalahan mencemarkan alam sekitar dan sumber air.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata jumlah itu antara perkara yang sedang dikaji kementeriannya dalam usaha untuk mencegah sebarang unsur pencemaran sungai.

Mengulas lanjut, Nor Aziah berkata sebanyak RM278,000 kompaun dikutip tahun lalu atas kesalahan jenayah alam sekitar melibatkan pencemaran air.

Jelas beliau kes tertinggi yang berjaya didakwa di mahkamah dan dikenakan denda bagi kesalahan yang sama pada 2019 ialah 100 kes dengan denda sebanyak RM1.37 juta.

“Namun pada tahun lalu hanya 38 pertuduhan dikemukakan dengan jumlah denda sebanyak RM325,000,” katanya.

 


Pengarang :