Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Ts Dr Siti A’iasah Hashim (kiri) melihat padi jenis NMR 152 semasa meninjau sawah padi yang diusahakan pesawah selepas menyampaikan bantuan benih padi bekenaan dan baja kepada mereka di Sawah Skim Paya Laka Jalan Selendang pada 18 Mac 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Benih padi jenis NMR152 mampu hasilkan sehingga 10 tan sehektar

ROMPIN, 18 MAC: Agensi Nuklear Malaysia optimis pengeluaran hasil padi negara ini dapat ditingkatkan jika lebih ramai pesawah menggunakan benih padi nuklear NMR152 yang dibangunkan agensi itu.

Ketua Pengarahnya Dr Siti A’iasiah Hashim berkata benih padi itu berupaya menghasilkan lapan hingga 10 tan beras sehektar berbanding dua hingga tiga tan sehektar jika menggunakan benih padi biasa.

Beliau berharap dapat meningkatkan hasil padi negara dengan mengubah cara penanaman dan penggunaan benih padi berkeberhasilan tinggi seperti benih padi nuklear NMR152 dan beberapa variasi benih padi lain yang sedang dibangunkan.

“Usaha ini membolehkan kita mengurangkan kebergantungan pada negara luar seperti Thailand dan Vietnam untuk memenuhi permintaan beras dalam negara yang masih belum mencukupi.

“Saya percaya ini akan berjaya dicapai jika para penanam padi di negara ini bersedia menggunakan benih padi mutasi tersebut, apatah lagi benih berkenaan telah diiktiraf Jabatan Pertanian dan akan dijual pada harga subsidi kelak,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Siti A’iasiah sebelum itu menghadiri Majlis Penyerahan Benih Padi Nuklear NMR152 di Sawah Skim Paya Laka yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Nuklear Malaysia Dr Abdul Rahim Harun dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Rompin Mohd Faizul Miran.

Pada majlis itu, Nuklear Malaysia memberi sumbangan benih padi nuklear NMR152 dan baja Oligokitosan kepada lebih 20 penanam padi di sekitar kawasan tersebut yang terjejas oleh banjir beberapa bulan lalu, sebagai sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi berkenaan.

Siti A’iasiah berkata selain boleh meningkatkan hasil pengeluaran padi, benih padi nuklear NMR152 dilihat berdaya tahan tinggi terhadap cuaca tidak menentu dan penyakit karah.

“Kelebihan benih padi NMR152 ialah boleh hidup walaupun air kurang atau banyak ketika musim hujan atau kemarau selain boleh menangani angin ribut kerana batangnya lebih kuat dan dapat bertahan jika terkena penyakit karah,” katanya.

Beliau berkata walaupun menggunakan teknologi nuklear untuk menghasilkan benih padi berkenaan, orang ramai tidak perlu risau untuk menggunakannya kerana teknologi itu terbukti selamat dan tidak memberikan kesan sampingan.

“Kita tidak mengubah benih padi dari segi genetik tetapi hanya mempercepatkan proses mutasi menggunakan sinaran gamma untuk menjadikannya lebih baik daripada induknya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :