Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan watikah pelantikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek di pejabat Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 5 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Beri peluang adil, lebih 30 peratus wanita teraju pentadbiran negeri

SHAH ALAM, 8 MAC: Sebanyak 32.9 peratus wanita terlibat dalam pentadbiran negeri termasuk sebagai pembuat keputusan setakat Oktober tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata pelantikan termasuk datuk bandar Subang Jaya, ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan usaha selaras agenda memperdana isu gender dalam pembangunan demi mewujudkan negeri, komuniti dan negara harmoni.

“Kita memilih wanita berkaliber dan berkemampuan untuk mengemudi agensi penting sekali gus membuktikan Selangor memberi peluang adil kepada golongan itu,” katanya dalam rakaman video sempena Hari Wanita Sedunia 2021.

Sementara itu, Amirudin berkata tema wanita bangkit mendepani cabaran bertepatan suasana hari ini sebagai pembakar semangat untuk mengatasi halangan.

Beliau turut berterima kasih kepada wanita di sekelilingnya terutama ibu dan isteri yang banyak memberi sokongan dalam kehidupan serta kerjaya.

“Sudah pasti saya sampaikan mesej ini kepada ibu saya yang melahir dan mendidik juga isteri dan anak perempuan yang sentiasa memberi inspirasi dalam kehidupan dan perjalanan yang mencabar ini,” kata Amirudin lagi.

 


Pengarang :