AGENDANASIONAL

Bilik tidur terbakar, budak lelaki 10 tahun melecur seluruh badan

SHAH ALAM, 24 MAC: Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun melecur seluruh badan selepas bilik tidur rumahnya di Taman Tan Sri Manickavasagam, Semenyih terbakar pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa sedang tidur dan tinggal bersendirian.

“Kebakaran melibatkan 20 peratus kawasan biliknya dan dipercayai mangsa tidak menyedari kebakaran itu.

“Mangsa kemudian dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” kata Norazam Khamis menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebakaran dipadam orang awam yang tinggal berhampiran sebelum pihaknya tiba di lokasi kejadian pada jam 10.18 pagi.

“Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang serta Semenyih dikejarkan ke sana selepas menerima panggilan pada jam 10.02 pagi,” katanya.


Pengarang :