Antara persembahan Program Rentak Selangor di Warisan Hall Studio Sijangkang, Kuala Langat pada 28 Februari 2021. Foto Facebook Rentak Selangor
EXCOSELANGOR

Bina pentas di desa bantu penggiat seni jana pendapatan

SHAH ALAM, 4 MAC: Kerajaan Negeri dalam rancangan menyediakan pentas persembahan di kawasan luar bandar bagi menjana pendapatan industri seni itu, kata EXCO kebudayaan.

Borhan Aman Shah berkata kemudahan itu dapat mengatasi isu keterbatasan ruang bagi pelakon teater, penyanyi, penari dan pemuzik sejak perebakan Covid-19.

“Selain menyediakan platform persembahan secara maya, kita boleh jalin kerjasama dengan syarikat produksi atau pengendali persembahan untuk menyediakan arena persembahan di luar bandar.

“Persembahan pentas tidak semestinya diadakan di bandar, kita boleh membawa peminat seni atau pelancong ke lokasi yang memiliki tarikan tertentu sekaligus membangunkan lagi kawasan tersebut,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada 1 Mac Kerajaan Negeri menganjurkan Rentak Selangor secara maya untuk menyemarak aktiviti seni dan budaya.

Persembahan secara langsung menerusi Facebook menampilkan 10 jenis persembahan antaranya tarian pooja, tarian bahbola, tarian merak, tarian joget Selangor dan muzik cempuleng berjaya meraih 62,000 tontonan.


Pengarang :